Perlukah KJ Terus Berlaku Seperti 'Pepat Di Luar, Runcing Di Dalam'?
Saudara Khairy Jamaluddin
Sejak BN kalah dalam PRU14 tanggal 9 Mei 2018, saudara kekal bersama Umno dan kepimpinan dalam Barisan Nasional. Prinsip itu saya hormati kerana saudara tidak lari dari kekalahan parti kita dan terus bersama walau kini duduk dalam barisan pembangkang di Parlimen.
Bagaimanapun polemik politik saudara bermula apabila saudara menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Umno 2018-2021. Saudara mula menuding jari kekalahan BN kepada individu tertentu tanpa melihat kekurangan serta kelemahan Sayap Umno yang saudara terajui. Betapa kami ahli akar umbi kebingungan dengan tindakan saudara secara tiba tiba bertukar nada selepas mahu merebut jawatan Presiden Umno. Saudara mungkin terlupa foto saudara bersama Bekas Presiden dimana saudara turut menjulang beliau selain memberi tabik hormat dalam foto yang lain. Mengapa tatkala mahu jawatan, saudara sanggup 'melacurkan' apa yang kononnya Kesetiaan dan Solidariti kepada Najib Razak semasa beliau masih di tampuk? Adakah saudara 'desperado' untuk memenangi jawatan tersebut walau rekod saudara mengepalai Sayap Pemuda tidak begitu memberangsangkan? Kegagalan saudara memikat Anak Muda sebagai pengundi BN merupakan kegagalan total Pemuda Umno. Ya, saudara ramai pengikut tetapi pengikut hanya pengikut di media sosial dan tidak di lapangan malah Himpunan Sejuta Belia adalah salah satu KEGAGALAN yang saudara tidak nampak. Benar saudara nampak mesra dengan Anak Muda namun itu hanyalah dihadapan lensa dengan senyuman seperti di paksa.
Saya masih ingat apabila kempen PRK Kuala Kangsar di mana jadual sepatutnya saudara dan rombongan Pemuda bertemu dan beramah mesra dengan orang kampung dijadualkan jam 4.30 petang. Namun demikian hanya pada jam 5.45 petang barulah saudara bersama rombongan yang orang kampung gelar sebagai 'Artis' tiba dan ketika itu orang kampung sudah hampir tiada di kawasan program. Agak memalukan apabila terdengar keluhan orang kampung dan Anak Muda mengenai tatacara saudara dan mereka menyebut - "inilah orang Umno".
Saudara KJ,
Kini dengan hanya dikenali sebagai Ahli Parlimen Rembau, saudara seperti tidak sehaluan dengan suara majoriti Umno. Benar saudara ada pandangan serta pengamatan berbeza serta perspektif berlainan dalam politik di blok pembangkang tetapi janganlah suka menempelak pimpinan lain jika tidak bersetuju dengan kenyataan. Saudara saya pasti masih punya nombor telefon dan saudara juga punyai akses bertemu mereka yang tidak sependapat maka lakukan pertemuan untuk mencari solusi. Bukannya menuding serta mencari populariti 'One Man Show'. Apa motif sebenarnya? Adakah untuk memikat pihak sebelah agar nampak bakat saudara dan menawarkan saudara kedudukan selesa? Saya yakin saudara punyai matlamat lebih jauh dalam politik sebagaimana saudara nukilkan- "Jika saya Presiden, awak orang pertama saya buang"
Saudara KJ,
Saya berpendapat saudara terlalu lembut umpama tauhu apabila dalam isu ICERD saudara seolah tidak merestui penyatuan Orang Melayu/Islam dalam menolak sebarang cubaan merealisasikan apa yang dikhuatiri akan menghapuskan Hak Melayu/Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Negara. Saudara sungguh kontra dalam isu tersebut tetapi saya faham saudara mahu mengikut arus pihak sebelah agar tidak dilihat ketinggalan dan kelihatan kuno. Lupakah saudara juga pernah terlibat hingga 'BASAH' dimandikan walau dikatakan itu lakonan aktor setaraf Hollywood? Rakyat sekarang merasa terpedaya dengan apa yang dijanjikan pihak sebelah dan rakyat mahu menyuarakan isihati mereka. Adakah itu salah? Adakah rakyat mahu menyuarakan bahawa mereka menentang sebarang provokasi melibatkan kepentingan Melayu, Islam, Bumiputera itu salah? Saya tidak mahu menulis panjang kerana terlalu banyak yang boleh disenaraikan kelemahan saudara ketika menjadi Ketua Pemuda Umno demi hormatkan saudara yang masih merupakan Ahli Parlimen Barisan Nasional. Cukup dahulu sekadar ini dan saudara boleh memilih menjawap atau berdiam diri.
Terimakasih
Yusman Zahari Zakaria
Sabtu 24/11/2018 jam14.38