JANGAN JADIKAN PAPAN 'CAI' ROSAKKAN PEMILIHAN UMNO 2018-2021
Selepas kewujudan Umno di Istana Johor, parti yang menjadi wadah Orang Melayu menerima tamparan paling hebat apabila Barisan Nasional yang diterajui Umno kalah buat pertama kali dalam sejarah politik negara. Siapa sangka pihak lawan hanya berbekalkan tohmahan dan fitnah yang di ulang ulang sepanjang tahun berjaya mempengaruhi pemikiran Anak Muda supaya menukar pentadbir Malaysia dalam PRU14.
Umno yang selama ini menjadi menjadi nadi Barisan Nasional berdepan dengan 'Sejarah Hitam' apabila ada calon yang diberikan kepercayaan mewakili BN telah bertindak mengkhianati kepercayaan pengundi apabila beralih arah dan menyertai pihak lawan selepas memenangi kerusi dengan mandat yang diberikan pengundi. Tanpa segan silu mereka yang mendapat kedudukan atas ehsan Umno berbangga apabila memilih membelakangkan parti yang selama ini mendukung mereka hingga mampu mencapai kedudukan yang agak selesa. Apabila terjadi perkara seperti ini, ada ahli Umno yang berpendapat inilah masa paling sesuai sessi pembersihan total dilakukan dalam Umno dan pemilihan dalam Umno akan menjadi medan terbaik mencari kepimpinan baru Umno yang lebih dinamik dan relevan. Maka bermulalah penawaran diri untuk semua jawatan dalam Umno sebagai bukti demokrasi wujud dalam Umno itu sendiri.
Bagaimanapun mereka yang menawarkan diri perlu sedar pemilihan kali ini bukanlah medan untuk memecahbelahkan Umno. Sebagai sebuah parti yang masih kuat dalam Parlimen dengan 54 kerusi sememangnya menggerunkan beberapa pihak yang mahu memastikan Umno tenggelam. Bagaimanapun kerakusan musuh tidak mampu menerobos benteng Umno yang masih kukuh dengan KESETIAAN Ahli Parlimen Umno yang masih mahu berjuang walau sedar kini mereka tidak lagi menerajui kerajaan.
Salah seorang Ahli Parlimen yang menawarkan diri dalam pemilihan kali ini ialah Dato Sri Tajuddin Rahman dari P073 Pasir Salak Perak. Beliau yang memenangi kerusi P073 dengan peningkatan majoriti 7,712 pada PRU14 mengatasi rekod PRU13 - 7,386 dan PRU12 - 2,688 boleh dikatakan sebagai 'Orang Lama Umno' tetapi masih berbisa. Selaku bekas Timbalan Menteri Pertanian sejak 2015 - 2018, pengalaman beliau dalam Parlimen amat diperlukan Umno bagi memastikan Kerajaan Pakatan Harapan menjalankan tugas mereka mengikut manifesto Pakatan Harapan. 'Anak Jantan' Pasir Salak yang agak vokal dalam memperkatakan soal kepentingan Melayu, perlu platform yang lebih memberi ruang untuk beliau bersuara dalam Umno dan jawatan Naib Presiden merupakan kedudukan yang mampu memberi beliau lebih 'Garang' sebagai 'Singa Umno' menggantikan Syed Jaafar Albar dan Harun Idris yang terkenal sebagai pembela Umno dan Melayu setiap kali diperlekehkan pihak lawan.
Meraikan demokrasi dalam Umno untuk pemilihan kali ini, Tajuddin Rahman berpendapat gandingan 'Lama dan Baru' dalam kepimpinan Umno amat penting bagi mewujudkan kerjasama yang lebih baik memacu Umno bagi PRU15 kelak. Tidak menafikan idea baru dari Anak Muda diperlukan dalam Umno, kehadiran Orang Lama diperlukan bagi mengimbangi kekuatan Umno khususnya suara Umno sebagai wadah Orang Melayu agar tidak berlaku sebarang penindasan secara halus oleh pihak yang tidak senang dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.
No comments:
Post a Comment