Tuesday, 29 March 2016

'Balada Seorang Tua' - Mahathir Sanggup Sembah Kaki Pembangkang



Gerakan pembangkang mempengaruhi Tun Mahathir menyertai kem pembangkang dalam usaha menjatuhkan kerajaan boleh dianggap berjaya. Setelah memperdayakan bekas PM ke4, pembangkang semakin yakin akan berjaya merampas Putrajaya pada PRU14 akan datang. 

Deklarasi Rakyat yang menjadi medan pembangkang meracuni pemikiran rakyat telah turut berjaya menarik perhatian bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah Dato Paduka Mukhriz Mahathir. Penyertaan mereka dalam gerakan menjatuhkan Dato Sri Hj Mohd Najib Tun Abdul Razak yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat hanyalah berkisar mengenai kuasa dan bukan kepentingan rakyat serta tidak mewakili 3.5 juta ahli Umno seluruh negara.

Walau Mahathir mendakwa mewakili 'suara rakyat' dalam menuntut perletakan jawatan Najib, beliau tidak boleh lupa bahawa selama 22 tahun memerintah beliau sendiri tidak setuju dan tidak percaya dengan pembangkang, lebih lebih lagi bekerjasama dengan parti yang beliau pernah gelar sebagai parti rasis yakni DAP.

Memecat Anwar dari kerusi Timbalan Perdana Menteri dan berhadapan dengan tentangan hebat 'reformasi' yang di bawa Anwar pada 1998, Mahathir seakan lupa segala 'dosa' yang pernah dilakukan Anwar bersama Keadilan (kini Parti Keadilan Rakyat). Kerosakan terhadap Umno selepas memecat Anwar telah membawa musibah kepada negara apabila demonstrasi jalanan mula menguasai setiap kali PKR mengadakan himpunan rakyat bagi menentang Mahathir.

Beliau ketika itu menyifatkan segala penentangan yang dilakukan di atas jalaraya serta himpunan rakyat hanya menyusahkan dan membazir wang negara apabila banyak kerosakan terjadi dan imej negara tercalar. Mahathir juga menyifatkan cara himpunan rakyat yang diusahakan PKR tidak selari dengan prinsip demokrasi yang dilaksanakan dalam Malaysia. 

Namun demikian, Mahathir yang kian terdesak memastikan kedudukan politik Mukhriz mendapat tempat sanggup 'berlutut' mengemis sokongan dari sebuah parti yang pernah 'diludahnya'. Namun demikian, Presiden PKR seakan masih belum melupakan 'dendam' terhadap Mahathir apabila tidak hadir dalam Kongres Rakyat bertempat di Shah Alam Convention Centre (SACC) pada 27 Mac 2016.

 Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar juga tidak hadir dalam program tersebut kerana mungkin masih belum melupakan semua perbuatan Mahathir kepada bapanya yang kini meringkuk didalam penjara atas kesalahan meliwat bekas pembantunya. Bagi Izzah, layanan buruk Mahathir kepada bapanya tidak boleh diampunkan selagi Mahathir tidak mengakui tersilap memecat dan memburukkan Anwar dengan tuduhan sebagai pengamal homoseksual.

Mahathir yang masih belum dapat menerima perlucutan jawatannya sebagai Penasihat Petronas memilih untuk terus berkonfrantasi dengan kepimpinan Najib. Beliau sentiasa berpendapat segala tindakannya adalah betul dan tidak boleh dipersoalkan rakyat. Mahathir masih membawa sikap 'diktator'nya yang membolehkan hayat politik beliau bertahan selama 22 tahun walau pernah hampir tersungkur di tangan Tengku Razaleigh Hamzah dalam pemilihan 1 lawan 1 pada 1984 hingga menyebabkan perpecahan dalam Umno.

Bagi Lim Kit Siang pula, kejayaan membawa Mahathir bersama pembangkang dalam percaturan menjatuhkan Najib umpama 'pucuk di cita, ulam mendatang'. Tanpa memperdulikan penghinaan Mahathir kepada parti sosialis sekular itu, nyata Kit Siang berbangga apabila berjaya menundukkan Mahathir yang pernah di gelar 'Maha Firaun'. Terpampang kepuasan di wajah Kit Siang, Mahathir kini 'melukut' di kaki pembangkang bagi meraih simpati rakyat agar dapat memastikan Mukhriz menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Mahathir pernah meraih simpati rakyat apabila keluar dari Umno hanya kerana mahu Tun Abdullah Badawi menurut perintahnya meletakkan jawatan. 'Pak Lah' akhirnya akur dengan 'titah' Mahathir dan meletakkan jawatan seperti yang Mahathir mahukan. Hanya selepas Najib mengambil alih tampuk pemerintahan, Mahathir kembali semula ke pangkuan Umno. Walau bagaimanapun ternyata Mahathir tidak berjaya membantu Umno dan Barisan Nasional menandingi rekod Pak Lah yang berjaya mencapai kemenangan mutlak BN dalam PRU.

Tindakan Mahathir yang menyerang kepimpinan Najib hanya berdasarkan laporan Wall Street Journal dan Sarawak Report yang memburukkan 1MDB dan isu dana RM2.6 billion dan bukan kerana kepentingan rakyat. Namun demikian kredibilti Mahathir mula terjejas apabila beliau tidak dapat mengemukakan sebarang bukti kepada semua tuduhannya terhadap apa yang di dakwanya sebagai 'salah laku' Najib. Malah lebih memalukan, siasatan yang dilakukan pelbagai pihak berintergriti mendapati tiada kesalahan dalam tuduhan Mahathir terhadap Najib.

Beralih mencari sokongan dari kalangan pemimpin tertinggi Umno, Mahathir mengheret Muhyiddin dan cuba mempengaruhi Tengku Razaliegh supaya mempercayai tindakannya menentang Najib bertujuan menyelamatkan Malaysia. Namun demikian, tindakan Tengku Razaleigh yang bertindak menandatangani 'Deklarasi Rakyat Kelantan Menyokong Kepimpinan Najib' telah mengecewakan Mahathir dan menganggap Ku Li mengkhianatinya.

Mahathir sebenarnya mahu menyelamatkan Malaysia dari siapa? Adakah Mahathir belum puas menjadi penentu dasar selain mencatur kedudukan Perdana Menteri supaya akur dengan arahan beliau? Adakah Mahathir sudah berasa 'besar kepala' apabila diangkat sebagai Negarawan dan menjadikan itu sebagai lesen untuk berbuat apa sahaja?

 DAP terutama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tentunya menarik nafas lega apabila Mahathir dan pengikutnya tidak turut serta menyerangnya dalam skandal 'Banglo' kerana menghormati kerjasama dengan parti tersebut. Malah Muhyiddin yang pernah mengaku sebagai 'Totok Umno' turut berdiam diri dalam pembongkaran skandal 'rasuah' Setiausaha Agung DAP kerana enggan merosakkan 'cinta baru' bersama pembangkang.

Malah Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz tidak berani mempertikaikan skandal wang rakyat yang dilakukan PKR di Selangor demi menadah sokongan parti 'monarki'milik Anwar Ibrahim. 

Mungkinkah Mahathir akan mengampunkan Anwar dan menarik balik segala tuduhannya terhadap Anwar demi 'membeli' jiwa Wan Azizah? Tidak menolak kemungkinan akan menyokong pembebasan Anwar, Mahathir kini sanggup melakukan apa sahaja demi impiannya menjatuhkan Najib.

Bekas PM itu yang menggelarkan penyokong Najib sebagai 'pemakan dedak' sebenarnya lupa bahawa mereka inilah yang pernah mempertahankannya sewaktu hebat diserang pembangkang tanpa mengira waktu. Mahathir juga lupa pengorbanan ahli Umno yang telah mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun. Apakah pengorbanan ahli Umno tidak bernilai kepadanya hingga sanggup merosakkan Umno dengan bersekongkol bersama pembangkang?

Ahli Umno yang masih mempunyai 'Harga Diri' sudah tentu tidak dapat menerima tindakan Mahathir yang sanggup menjulang tangan pembangkang demi meruntuhkan Institusi Perjuangan Melayu yang ditinggalkan pengasas Umno, Dato Onn Jaafar serta tidak mungkin mengkhianati perjuangan Tunku Abdul Rahman.








No comments:

Post a Comment