Rantau Bakal Saksikan Percaturan Calon 'Luar Jangkaan'?
Pertembungan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan sudah pasti akan jadi tumpuan selepas 2 pilihanraya kecil yang menyaksikan tersungkurnya calon Pakatan Harapan dari 2 parti berbeza. DAP dan PPBM telah mengecapi kekalahan agak memalukan walau dibantu jentera dari seluruh negara yang digerakkan oleh PH dan kini PKR mahu menebus kekalahan tersebut.
Walau ada desas desus mengenai keretakan hubungan dalaman PKR, perkara tersebut tidak menghalang kempen bersepadu di bawah pemantauan badan tertentu. Sebagai calon yang direstui Presiden PKR gerak kerja kempen dikatakan dikepalai Invoke dan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli. Sejauh mana penglibatan Invoke dalam kempen tidak dapat dipastikan namun dipercayai dengan bantuan seorang individu yang dikenali sebagai Chegu Bard, kempen dijangkakan akan lebih menarik. Pelbagai isu akan diketengahkan bagi meraih perhatian pengundi Rantau. Tidak kurang tinjauan sikap serta kempen mempengaruhi pengundi dikatakan turut dibantu sebuah pertubuhan yang pernah disertai Chegu Bard.
Bagaimanapun di pihak Barisan Nasional pula kempen agak berbeza. Membawa pengundi mengimbau jasa jasa Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum kejatuhan kerajaan negeri pada 9 Mei 2018, adakah berbaloi bagi pengundi memilih Tok Mat sekali lagi mewakili suara rakyat Rantau? Jentera kempen BN perlu realistik dalam apa yang dianggap pertembungan 'Maruah' dan kempen dengan menyandarkan 'Kenangan dan Jasa' sahaja nampak tidak menyakinkan bagi mengekalkan Tok Mat di Dewan Undangan Negeri Sembilan. Walau pendekatan pengundi oleh komponen BN sudah kelihatan bergerak, tidak mustahil berlaku pertukaran calon BN di saat akhir.
Dalam politik percaturan kalah menang amat kritikal jika bacaan peratusan tidak menyebelahi calon yang dikemukakan parti. Pernah atau tidak BN terfikir apa akan berlaku seandainya Tok Mat kalah di Prk Rantau? Pertama sekali sudah tentu maruah Umno akan diperlekehkan malah kerjasama BN turut akan berada dalam keadaan genting. Tuding menuding boleh berlaku seandainya calon kalah walau dibantu PAS dalam ertikata kerjasama politik. Tidakkah ini berbahaya jika pengundi Rantau menolak Tok Mat kerana yakin dengan apa yang dibentangkan Pakatan Harapan? Kedudukan Tok Mat selaku Timbalan Presiden yang menjalankan tugas Presiden Umno bakal dipertaruhkan dalam PRK ini. Berbaloikah Umno untuk mengorbankan Timbalan Presiden dengan berharap momentum Cameron dan Semenyih?
Mungkin risiko ini perlu dipertimbangkan oleh kepimpinan BN malah Tok Mat sendiri perlu berwaspada dengan serangan politik pihak lawan terhadapnya. Kekangan media massa audio visual perdana merupakan antara perkara yang perlu juga dikaji dengan teliti. Serangan PH sudah tentu akan lebih kerana Umno meletakkan Timbalan Presiden sebagai calon dan bagi PH untuk me'mati'kan nyawa Umno adalah dengan cara 'membunuh' maruah Umno yang kini dipikul Tok Mat.
Sudahkah Umno, BN bersedia sepenuhnya menghadapi serangan Pakatan Harapan dan bala tentera mereka di media sosial?
*artikel ini hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili mana mana parti politik*
No comments:
Post a Comment