Showing posts with label Khairy Jamaluddin. Show all posts
Showing posts with label Khairy Jamaluddin. Show all posts

Saturday, 24 November 2018

SURAT TERBUKA UNTUK KHAIRY JAMALUDDIN - JANGAN PEPAT DILUAR,RUNCING DIDALAM

Perlukah KJ Terus Berlaku Seperti 'Pepat Di Luar, Runcing Di Dalam'?

Saudara Khairy Jamaluddin

Sejak BN kalah dalam PRU14 tanggal 9 Mei 2018, saudara kekal bersama Umno dan kepimpinan dalam Barisan Nasional. Prinsip itu saya hormati kerana saudara tidak lari dari kekalahan parti kita dan terus bersama walau kini duduk dalam barisan pembangkang di Parlimen.

Bagaimanapun polemik politik saudara bermula apabila saudara menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Umno 2018-2021. Saudara mula menuding jari kekalahan BN kepada individu tertentu tanpa melihat kekurangan serta kelemahan Sayap Umno yang saudara terajui. Betapa kami ahli akar umbi kebingungan dengan tindakan saudara secara tiba tiba bertukar nada selepas mahu merebut jawatan Presiden Umno. Saudara mungkin terlupa foto saudara bersama Bekas Presiden dimana saudara turut menjulang beliau selain memberi tabik hormat dalam foto yang lain. Mengapa tatkala mahu jawatan, saudara sanggup 'melacurkan' apa yang kononnya Kesetiaan dan Solidariti kepada Najib Razak semasa beliau masih di tampuk? Adakah saudara 'desperado' untuk memenangi jawatan tersebut walau rekod saudara mengepalai Sayap Pemuda tidak begitu memberangsangkan? Kegagalan saudara memikat Anak Muda sebagai pengundi BN merupakan kegagalan total Pemuda Umno. Ya, saudara ramai pengikut tetapi pengikut hanya pengikut di media sosial dan tidak di lapangan malah Himpunan Sejuta Belia adalah salah satu KEGAGALAN yang saudara tidak nampak. Benar saudara nampak mesra dengan Anak Muda namun itu hanyalah dihadapan lensa dengan senyuman seperti di paksa.

Saya masih ingat apabila kempen PRK Kuala Kangsar di mana jadual sepatutnya saudara dan rombongan Pemuda bertemu dan beramah mesra dengan orang kampung dijadualkan jam 4.30 petang. Namun demikian hanya pada jam 5.45 petang barulah saudara bersama rombongan yang orang kampung gelar sebagai 'Artis' tiba dan ketika itu orang kampung sudah hampir tiada di kawasan program. Agak memalukan apabila terdengar keluhan orang kampung dan Anak Muda mengenai tatacara saudara dan mereka menyebut - "inilah orang Umno".

Saudara KJ,

Kini dengan hanya dikenali sebagai Ahli Parlimen Rembau, saudara seperti tidak sehaluan dengan suara majoriti Umno. Benar saudara ada pandangan serta pengamatan berbeza serta perspektif berlainan dalam politik di blok pembangkang tetapi janganlah suka menempelak pimpinan lain jika tidak bersetuju dengan kenyataan. Saudara saya pasti masih punya nombor telefon dan saudara juga punyai akses bertemu mereka yang tidak sependapat maka lakukan pertemuan untuk mencari solusi. Bukannya menuding serta mencari populariti 'One Man Show'. Apa motif sebenarnya? Adakah untuk memikat pihak sebelah agar nampak bakat saudara dan menawarkan saudara kedudukan selesa? Saya yakin saudara punyai matlamat lebih jauh dalam politik sebagaimana saudara nukilkan- "Jika saya Presiden, awak orang pertama saya buang"

Saudara KJ,

Saya berpendapat saudara terlalu lembut umpama tauhu apabila dalam isu ICERD saudara seolah tidak merestui penyatuan Orang Melayu/Islam dalam menolak sebarang cubaan merealisasikan apa yang dikhuatiri akan menghapuskan Hak Melayu/Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Negara. Saudara sungguh kontra dalam isu tersebut tetapi saya faham saudara mahu mengikut arus pihak sebelah agar tidak dilihat ketinggalan dan kelihatan kuno. Lupakah saudara juga pernah terlibat hingga 'BASAH' dimandikan walau dikatakan itu lakonan aktor setaraf Hollywood? Rakyat sekarang merasa terpedaya dengan apa yang dijanjikan pihak sebelah dan rakyat mahu menyuarakan isihati mereka. Adakah itu salah? Adakah rakyat mahu menyuarakan bahawa mereka menentang sebarang provokasi melibatkan kepentingan Melayu, Islam, Bumiputera itu salah? Saya tidak mahu menulis panjang kerana terlalu banyak yang boleh disenaraikan kelemahan saudara ketika menjadi Ketua Pemuda Umno demi hormatkan saudara yang masih merupakan Ahli Parlimen Barisan Nasional. Cukup dahulu sekadar ini dan saudara boleh memilih menjawap atau berdiam diri.

Terimakasih
Yusman Zahari Zakaria
Sabtu 24/11/2018 jam14.38

Tuesday, 15 May 2018

SURAT TERBUKA KEPADA KJ

Yusman Zahari Zakaria
730726-12-****
Umno Cawangan Sg Koyan 2
Bahagian Cameron Highlands
No Ahli - 03544769

Kehadapan Khairy Jamaluddin
Ketua Pemuda Umno Malaysia
Ahli Parlimen Rembau

Assalamualaikum saudara

Pilihanraya Ke-14 telah berlalu pada 9 Mei 2018 dan rakyat telah memilih untuk bertukar arah dengan memberi keyakinan kepada Pakatan Harapan. Dengan kejatuhan Barisan Nasional pada PRU14 maka episod hitam Umno bermula.

Walau kiraan kerusi yang dimenangi Umno agak besar dalam BN namun ia tidak mampu mengekalkan BN di pusat sekaligus melihat kerajaan bertukar tampuk kepimpinan.

Perkara pertama yang menyentuh hati saya selaku Ahli Umno ialah apabila Pemuda Umno mendesak Presiden Umno meletakkan jawatan sehari selepas kekalahan BN. Dengan lantang Pemuda menamakan saudara KJ sebagai calon paling layak menjadi Presiden Umno kerana populariti saudara yang dikatakan disukai Anak Muda.

KJ,
Saya melihat tuntutan saudara ketika itu tidak ubah seperti Episod Rompin dalam Pilihanraya Kecil Rompin satu ketika dahulu. Mahu Presiden Umno meletakkan jawatan tanpa bukti sahih kes 1MDB dan termakan dengan dongeng sebelah pihak maka Pemuda (ketika itu) dikatakan menggerakkan satu gerakan mahu Dato Sri Najib turun. Semalam, Tun Mahathir selaku Perdana Menteri menolak Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat kes 1MDB kerana tiada bukti kukuh yang boleh dijadikan asas penubuhan RCI.

KJ,
Hari ini tular pula gesaan mahu buka keahlian Umno kepada bukan Melayu. Ingat sejarah mengapa Dato Onn selaku pengasas Umno keluar dari Umno? Beliau mahukan perkara sama namun di tolak Orang Melayu dan dengan semangat Melayu, Tunku Abdul Rahman berjaya bangkit sekaligus membawa kemerdekaan kepada Tanah Melayu (ketika itu) namun jasa Dato Onn tidak pernah dilupakan dan kekal dalam sejarah Umno. Tular pula kekesalan saudara tidak memberitahu perkara sebenar kepada Dato Sri Najib di media sosial.

KJ, saya masih ingat saat kami (ahli Umno marhein) yang mahu kemukakan satu plan kepada KBS mengenai cara memenangi hati pengundi muda dan persediaan membawa Anak Muda menjadi penyokong setia Umno dan BN dalam PRU namun di tolak mentah mentah dengan jelingan tajam oleh pegawai khas saudara. Kami mengerti kami tiada kelulusan PhD, Mbbs, Masters namun kami ada kewajaran dan pemikiran akar umbi tanpa kepentingan dan yang penting kami sayangkan UMNO tanpa perlu imbuhan. Tidak mengapa saudara KJ, itu semua pengajaran buat semua.

KJ,
Meletakkan tanggungjawab atas bahu seorang bukan perkara mudah dan sebagai Ketua Pemuda Umno, saudara juga perlu mengambil langkah sama - meletakkan jawatan dan kembali sebagai marhein dalam Umno jika masih sayangkan Umno. Tidak salah berundur setapak untuk maju 10 atau 100 tapak kehadapan, bukan mendesak Presiden berundur sendirian. 'KITA' semua bertanggungjawab atas kekalahan ini dan sewajarnya saudara selaku pemegang heraki tertinggi dalam Pemuda Umno dan BN mengambil langkah bersama bertanggungjawab. Ini tidak..saudara hanya desak Presiden manakala saudara kekal di kerusi empuk saudara? Mana erti Pemuda Umno yang sewajarnya menjadi BENTENG tetapi kini berubah menjadi JENTOLAK?

KJ, selaku ahli Umno yang sah saya Yusman Zahari Zakaria mendesak saudara meletakkan jawatan dan serahkan kepada Majlis Tertinggi melantik pemangku Ketua Pemuda Umno sehingga Persidangan Agung Umno dijalankan kelak. Jadilah ahli Umno marhein dan dengar apa sebenarnya kehendak rakyat bagi persediaan PRU15. Saya percaya saudara akan lebih dihormati kawan dan lawan jika saudara BERJIWA BESAR berundur dari jawatan sekarang.

KJ,
Tiada niat saya perkecilkan kemampuan saudara dalam politik malah saudara ada aura tetapi saudara hanya mampu mencipta pengikut 'Lampu Raya' (kelip kelip) dan bukannya pemimpin masa depan. Itu pandangan peribadi saya.

Sebelum mengakhiri surat terbuka ini saya sekali lagi meminta saudara KJ memikirkan kedudukan saudara sebagai Ketua Pemuda Umno dan jika benar saudara BERJIWA BESAR meletakkan jawatan bukan pengakhiran politik saudara.

Sekian.
Ikhlas dari 'Orang Umno'

Yzz