Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

Thursday, 8 September 2016

'Mat Bunga' Ambil Alih Pemerintahan Dalam Pakatan Harapan?

Suasana Pilihanraya Umum Ke-14 pasti akan menjadi lebih menarik berikutan kelulusan ROS kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baru diumumkan. Dengan kehadiran PPBM ini Pakatan Harapan kini beroleh satu lagi parti untuk bersama mereka dalam mencapai visi merampas Putrajaya dari Barisan Nasional.

Pakatan Harapan dalam nafas baru selepas membubarkan Pakatan Rakyat setelah menyingkirkan PAS dari gabungan melihat kehadiran PPBM merupakan satu kelebihan buat mereka dalam usaha mempengaruhi pengundi. Berbekalkan isu semasa (telah terjawap kebanyakannya), PH akan menggunakan pengaruh Tun Mahathir untuk berkempen dan meyakinkan rakyat untuk memberi peluang kepada mereka mentadbir Malaysia walau hanya sepenggal.

Slogan 'IniKaliLah' yang sinonim dengan DAP akan digunakan bagi kempen mereka setiap kali bertemu pengundi. Melihat potensi sokongan penyokong Mahathir,Muhyiddin dan Mukhriz, PH tidak ragu ragu untuk memberi ruang kepada PPBM bertanding di bawah satu bendera bersama mereka (walau tiada bendera rasmi PH).

Menariknya kali ini percaturan pembahagian kerusi antara mereka akan menimbulkan persoalan. Parti mana dari kalangan PH akan memperolehi kerusi majoriti dan bertindak sebagai 'anchor' pembangkang dalam PRU14? Seperti diketahui, Mahathir hanyalah Penasihat PPBM manakala Muhyiddin adalah Presiden sementara PPBM sebelum Mesyuarat Agung parti tersebut berlangsung. Tidak mustahil DAP akan tampil sebagai pemacu kepada PH dalam pembahagian kerusi agar tidak bertembung sesama mereka. Dari 222 kerusi di Parlimen pembahagian secara matematik mudah agak sukar mereka laksanakan kerana ini akan menimbulkan konflik siapa yang akan menerajui PH jika mereka berjaya merampas Putrajaya.

Jika pembahagian kerusi Parlimen sebanyak 222 dibahagikan samarata dalam PH termasuk PAS bermakna mereka hanya ada sekitar 44 kerusi untuk ditandingi dan ini bukanlah sesuatu yang akan memberi kelebihan kepada mana mana parti pembangkang dalam Malaysia untuk membentuk sebuah kerajaan stabil. Majoriti mudah dalam PRU juga dilihat sukar untuk di capai PH dengan pembahagian kerusi sesama mereka. Berbeza dengan Barisan Nasional yang menampilkan gabungan parti dari kaum terbesar mengikut turutan dalam Malaysia, setiap kerusi akan ditandingi kerana ini amat penting bagi mengekalkan kestabilan sekaligus menghalang ekonomi dari mengalami kejatuhan akibat kehilangan kepercayaan pelabur asing. Kestabilan politik yang BN selama hampir 6 dekad membuat pelabur asing yakin untuk melabur dan menjana ekonomi rakyat Malaysia malah membawa dimensi baru terhadap keyakinan pelabur yang mengintai peluang mengembangkan perniagaan mereka.

Mampukah PH menjamin kestabilan politik dengan perebutan kerusi antara mereka yang belum diputuskan lagi? Walau dengan kehadiran PPBM sekalipun belum tentu pelabur yakin dengan kemampuan pembangkang menjamin kestabilan ekonomi dan keselamatan mereka. Ini antara faktor sampingan mengapa PH perlu di tolak untuk menjadi kerajaan walau mereka bekerjasama dengan Mahathir sekalipun.

Bukti PH tidak mampu menjadi kerajaan stabil telah terbukti dalam Pilihanraya Negeri Sarawak (PRN Sarawak) Mei lepas. Perebutan sesama mereka mengakibatkan pertembungan lebih dari 3 penjuru dan ini menguntungkan BN yang kekal dengan konsep 1 lawan 1. Malah keberanian BN Sarawak menghadapi cabaran banyak penjuru dari PH memberi kesan positif dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Sg Besar dan Kuala Kangsar dengan pertambahan majoriti di luar jangkaan.

Sesuatu yang PH tidak mampu sangkal ialah konsep BN yang bertanding dalam konteks muhibbah tidak ada dalam Pakatan Harapan. Calon BN yang bertanding akan menerima sokongan padu dari pelbagai kaum atas dasar kebersamaan dalam Barisan Nasional dan ini sesuatu yang sukar bagi PH lakukan walau bersama dengan parti yang turut mewakili kaum lain di Malaysia.

Harapan Pakatan kini bergantung kepada PPBM bagi menerobos kawasan yang sukar mereka tembusi dan ini akan menimbulkan sati polemik kepada PPBM kerana mereka akan mendakwa tanpa parti mereka PH tidak akan berjaya sekaligus akan meminta kelebihan untuk PPBM menjadi suara penentu dalam Pakatan. Adakah DAP yang memegang 'status quo' akan tunduk dengan parti 'orang kecewa' ini? Atau PKR akan bersatu suara dengan PPBM untuk menyingkirkan DAP dari Pakatan demi kepentingan parti politik mereka? Dengan pelbagai krisis dalaman yang melanda DAP dan PKR tidak mustahil akan berlaku ' tikam belakang' dalam Pakatan.

Friday, 12 August 2016

BERSATU Bakal Jadi Kuasa Autonomi Pakatan Harapan - Siapa Akan Hilang Kuku?




WUJUD UNTUK MERAMPAS KUASA UTAMA PAKATAN HARAPAN-BERSATU HANYA MAHU KUASA AUTONOMI KE ATAS PEMBANGKANG?

Selepas gagal menumbangkan Presiden Umno Dato Sri Hj Mohd Najib Tun Abdul Razak dengan pelbagai dakwaan serta tuduhan, sekumpulan bekas ahli Umno bertindak menubuhkan parti baru untuk menyaingi kekuatan Umno dan Barisan Nasional. Mantan Menteri Pelajaran, Muhyiddin Yassin yang mengetuai kumpulan tersebut berjaya menarik minat bekas Menteri Besar Kedah Dato Mukhriz Mahathir serta beberapa individu lain untuk enyertai 'misi' menjatuhkan Najib.


Walau mulanya menafikan mahu menumbangkan Barisan Nasional, akhirnya mereka mengakui matlamat sebenar kewujudan tentangan terhadap kepimpinan Najib. BERSATU yang secara jelas mem'plagiat' seluruh struktur serta gerak kerja Umno 100%, pengakuan Mukhriz mengenai kesediaan parti itu menggantikan Umno sebagai alternatif kepada pengundi sebenarnya telah di hidu lebih awal sebelum tertubuhnya Parti Pribumi Bersatu. Dalam satu temubual beliau dalam akhbar, Mukhriz turut mengakui perjuangan mereka hanya berlandaskan kejatuhan BN serta kerajaan yang di pilih rakyat pada PRU13, walau cuba memancing perhatian pengundi dengan menjanjikan perlindungan kepada perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Bagi pemerhati politik, Mahathir yang dilantik sebagai penasihat BERSATU pula telah berjaya mencapai apa yang dikehendakinya selama ini selepas tidak lagi berkuasa. Mungkin semasa beliau masih lagi ahli Umno, kemahuannya untuk diberikan jawatan sebagai penasihat tidak dipedulikan malah telunjuknya turut tidak dituruti menjadi sebab mengapa penentangan beliau terhadap Najib. Mahathir yang masih mahu menjadi 'faktor penentu' hala tuju politik Malaysia tidak mendapat perhatian kerana beliau pernah menyatakan keengganannya bergiat atau mempengaruhi keputusan Perdana Menteri selepasnya.


Dengan berbekalkan isu 1MDB yang dilaporkan oleh Sarawak Report (SR) serta Wall Street Journal (WSJ), pembangkang bermain isu tersebut dan secara tidak langsung mempengaruhi pemikiran golongan 'anti Najib' yang berkeras mahu menjatuhkan tampuk kerajaan. Malah mereka turut berjaya mencapai matlamat memburukkan pemerintahan kerajaan apabila menerobos pemikiran ahli Umno sendiri berkaitan isu tersebut. Walau penerangan telus telah diberikan kepada rakyat, mereka terus melakukan propaganda politik selagi BN tidak tumbang.

Permainan minda ini sinonim dengan taktikal pembangkang yang sememangnya tidak menerima hakikat kekalahan mereka dalam PRU13 walau telah diperjelaskan kepada mereka. Inilah antara faktor golongan 'anti Najib' yang berusaha serta sanggup bekerjasama dengan pembangkang dalam satu deklarasi rakyat dan cubaan mengutip sejuta tandatangan untuk dijadikan petisyen kepada Yang DiPertuan Agong sebagai usul untuk memecat Najib. Kontroversi turutu mewarnai kempen deklarasi rakyat apabila digemparkan dengan pendedahan dari aktivis PKR mengenai penipuan tandatangan yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggunjawab. Satu surat akuan bersumpah telah dikeluarkan oleh seorang individu yang mendakwa telah di bayar dengan sejumlah wang untuk melengkapkan pencarian 'database' seterusnya mencapai matlamat sejuta tandatangan.

Penubuhan BERSATU yang dikatakan akan menjadi parti paling berkuasa dalam pembangkang pula sememangnya tidak disenangi oleh DAP. Bagi mereka BERSATU yang menggunakan akronim 'Pribumi' tidak melambangkan kerjasama denagn merka yang merupakan sebuah parti sosialis sekular sejak ditubuhkan pada tahun 60an. Malah kekuatan BERSATU memenangi PRU juga diragui kerana penubuhan mereka berasaskan kekecewaan dalam Umno. Krisis dalaman yang melanda Pakatan Harapan setelah kalah teruk dalam Pilihanraya Sarawak pula seakan 'badi' kepada parti yang bertanding dan ini dibuktikan pula dengan kemenangan besar BN dalam 2 PRK pada Jun lepas.




Kebimbangan DAP berasas kerana BERSATU yang masih mentah dalam arus politik nasional seperti mengulang semula sejarah Semangat46 yang ditubuhkan selepas krisis hebat yang melanda pentadbiran Mahathir ketika itu. Kini parti 'Mahathir' itu mengulang semula skrip lama yang bermula kerana penentangan beberapa individu yang tidak berpuas hati apabila kemahuan mereka tidak di penuhi.

Adakah parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ditubuhkan seteru Mahathir akan hanya memandang kemaraan BERSATU dan merampas kepercayaan pengundi mereka pula? Perlu diingatkan Anwar Ibrahim telah mengutus sepucuk surat mengingatkan kepimpinan PKR agar tidak terpedaya dengan kelicikan Mahathir yang disifatkannya sebagai seorang 'oppurtunist' dalam mengambil kesempatan kekalutan politik. Malah Presiden PKR sendiri tidak tampil dalam program yang menampilkan Mahathir selama ini, mungkin sebagai tanda protes kerana berpendapat Mahathir telah melakukan 'kekejaman' terhadap karier politik Anwar satu masa dahulu.

Kini rakyat sudah boleh menilai perjuangan sebenar BERSATU dan kebersamaan mereka dengan pembangkang yang sering tidak memikirkan kestabilan negara dahulu. Bagi mereka yang paling penting ialah jatuhkan Najib serta BN adalah keutamaan dan bukannya kebajikan pengundi serta perkembangan ekonomi negara. Inilah mentaliti mereka yang memilih untuk bersama dengan individu kecewa dan mereka berpendapat dengan cara mempengaruhi minda rakyat, BN mudah ditewaskan bersama kerjasama pembangkang.

Mungkinkah pengundi akan meyebelahi mereka dalam PRU14 atau pengundi mahukan sebuah kerajaan yang stabil serta menjamin kesejahteraan negara seperti yang ditunjukkan BN selama hampir 60 tahun memerintah Malaysia? Perancangan negara mungkin akan tergugat jika berlaku perubahan kerajaan dan ini sesuatu yang sangat tidak diingini rakyat serta pengundi senyap yang selama ini menyokong kepimpinan BN.