Wednesday, 20 July 2016
KRISIS PKR SELANGOR - AZMIN AKAN KETEPIKAN AZIZAH DAN LEGASI ANWAR?
KRISIS SELANGOR BUKA MATA RAKYAT-PKR TIDAK RELEVAN LAGI
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang kini menghadapi krisis dalaman sudah tidak mampu menyembunyikan keretakan hubungan pucuk pimpinan tertinggi mereka. Pergeseran dalaman ini turut menjejaskan pemerintahan Selangor apabila Rafizi Ramli dikatakan mengambil tindakan drastik melaporkan penyalahgunaan kuasa oleh individu tertentu dalam Selangor yang membabitkan wang rakyat Selangor.
Bagaimanapun sikap berdiam diri Presiden PKR pula mula menimbulkan persoalan adakah beliau merestui apa sahaja tindakan Menteri Besar Selangor yang membelanjakan wang rakyat mengikut acuan sendiri dan Wan Azizah tidak berani menyanggah perbuatan Azmin di dalam Dewan Undangan Negeri. Kredibiliti Azizah selaku ADUN Kajang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh mula disangsikan rakyat yang tertipu dengan lakonan sebabak yang berjaya meraih simpati rakyat dengan memberi kemenangan kepadanya dalam Pilihanraya Kecil yang diadakan berikutan perletakan jawatan itu oleh penyandangnya. Pemilihan Wan Azizah untuk bertanding di Kajang sebenarnya adalah jalan untuk menyediakan beliau sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim yang tersungkur akibat konspirasi dalaman PKR sendiri.
Percaturan PKR yang mahu terus berkuasa di Selangor dan menimba hasil kekayaan negeri tersebut kini sudah tiba di penghujung apabila rakyat Selangor sudah mula membuka mata akan pembaziran yang telah dilakukan PKR Selangor. Bayangkan RM9.8 juta dibazirkan hanya untuk membeikpulih Gerbang yang tidak menjana ekonomi Selangor malah hanya memberi ruang kepada kroni PAS membolot tender dan seperti ada perjanjian rahsia antara kerajaan negeri dan kontraktor dalam merahsiakan siapa yang dikatakan oleh Azmin sebagai penderma bagi projek berkenaan.
Belum lagi kisah Gerbang Selangor reda, pendedahan oleh Chegu Bard selaku aktivis dan ahli seumur hidup PKR mula menggasak Azmin dengan kewujudan pelbagai lagi skandal yang dirahsiakannya dari pengetahuan rakyat. Pembaziran demi pembaziran dilakukan PKR Selangor dan ini merunsingkan rakyat yang mahu PKR Selangor telus dalam mentadbir Selangor sepertimana yang telah mereka janjikan dalam menifesto Pakatan Rakyat dalam PRU13. Kegagalan kerajaan PKR Selangor melaksanakan janji mereka kepada rakyat mula diperkatakan dan ini pasti mengundang satu lagi persoalan kepada rakyat Selangor mengenai kredibiliti PKR sebagai parti memerintah.
Kisah penyalahgunaan kuasa oleh PKR Selangor dalam isu kelulusan papan iklan gergasi yang melanggar peraturan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut mendapat perhatian rakyat. Bagaimana sebuah parti yang mendabik dada sebagai sebuah parti yang tidak menyalahguna kuasa telah membuat papan iklan menyokong seorang banduan yang secara jelas melanggar norma hidup manusia normal dan mendapat tempat paling tinggi di dalam PKR itu sendiri, malah mereka seakan mempromosikan kehidupan di luar tabie manusia di Malaysia. Walau isu tersebut akhirnya berkubur apabila papan iklan berkenaan diturunkan dengan perintah Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sikap keras kepala PKR mengundang tandatanya kepada rakyat. Adakah mereka ini selaku kerajaan memerintah menggunakan pengaruh untuk memberi kelulusan kepada iklan tersebut.
Mengapa Wan Azizah selaku Presiden PKR tidak berani bersuara sedangkan kedudukannya membolehkan beliau membuat teguran terhadap Timbalan Presiden PKR? Adakah beliau mahu memastikan perjalanan pentadbiran PKR terus lancar tanpa ada penentangan terbuka jika berselisih pendapat dalam pentadbiran negeri sedangkan beliau juga berhak bersuara atas kapasiti Adun. Mungkin Azizah takut dengan kebangkitan Azmin yang kini memperoleh sokongan dari Mahathir selaku sekutu terbaru Pakatan Harapan?
Ketua Umum PKR yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun kerana kesalahan meliwat bekas pembantunya sudah tentu tidak akan berdiam diri melihat kedudukannya terancam. Mungkin melalui proksinya di luar penjara, Anwar menekan pimpinan PKR agar mengambil langkah drastik bagi mengekang pengaruh Azmin dari terus memusnahkan parti anak beranak yang diusahakannya selama ini. Apakah Azmin telah menjadi 'trojan horse' kepada Mahathir dalam usaha menghancurkan pengaruh Anwar dalam PKR dan perancangan itu sudah hampir pasti akan terlaksana sebelum Anwar dibebaskan kelak.
Pertembungan antara dua nama besar dalam PKR sudah seperti tidak dapat dielakkan lagi apabila ternyata Azizah tidak senang dengan kerjasama Pakatan dengan gerakan Mahathir, malah beliau tidak mengiktiraf bekas PM itu apabila tidak hadir dalam mana mana majlis pembangkang yang melibatkan kehadiran Mahathir. Pertentangan ini amat jelas dan sedang diperhatikan rakyat dengan minat kerana semua perseteruan akan hanya terjawap apabila mereka berebut kuasa untuk menentukan kedudukan kerusi yang akan ditandingi dalam PRU14.
Azizah pastinya mahu meneruskan legasi Anwar manakala Azmin mahu pembaharuan dilakukan bagi memastikan kelangsungan politik parti itu. Siapa bakal terkorban dalam perebutan ini amat menarik untuk diperkatakan. Rafizi yang mungkin mengetahui kisah sebenar skandal Azmin di Selangor sudah tentu akan menggunakan kepakarannya bagi memusnahkan pengaruh Azmin di saat akhir, tetapi pihak Azmin pula sudah bersedia dengan kemungkinan dan akan mengeluarkan peluru untuk menangkis segala serangan dari dalam PKR sendiri.
Pertempuran ini pasti menarik perhatian rakyat Selangor mengenai kemampuan sebenar PKR mentadbir sebuah kerajaan yang kaya dengan pelbagai hasil. Adakah selama ini mereka hanya menjadi mangsa penipuan PKR yang menabur pelbagai janji tanpa mempedulikan nasib rakyat Selangor? Sudah tiba masanya Selangor kembali kepada Barisan Nasional selepas diperdayakan Pakatan Harapan sejak 2 penggal lalu.
Rakyat Selangor sudah memberi isyarat jelas kepada PKR apabila memberi kemenangan luarbiasa kepada BN dalam Pilihanraya Kecil Sg Besar apabila majoriti meningkat dengan drastik. Semua ini adalah menifestasi rakyat Selangor memprotes kegagalan kerajaan PKR mentadbir Selangor yang hanya mementingkan parti mereka dan bukannya kehendak rakyat Selangor.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment