Sunday 31 March 2019

PRK RANTAU - PKR SUDAH MULA TABUR JANJI, KLINIK AKAN DINAIKTARAF SEKIRANYA PAKATAN HARAPAN MENANG

Selepas Aiman Mahu Bina Hospital, Kini Giliran Streram Pula Palu 'Tin Kosong' Naik Taraf Klinik Rantau


Benarlah pepatah menyebut 'Terlajak Perahu Boleh Diundur, Terlajak Kata Buruk Padahnya'. Calon PKR hari ini dilaporkan telah berjanji akan menaiktaraf klinik di Rantau sekiranya beliau menang PRK Rantau pada 13 April 2019. Kenyataan ini seakan mengulang episod 'Aiman Tak Kisah' yang berjanji mahu memperjuangkan pembinaan sebuah Hospital di Semenyih.


Calon PKR perlu sedar kerajaan Malaysia kini ditadbir oleh Pakatan Harapan jadi mengapa perlu beliau berjanji sedangkan Menteri Besar N.Sembilan sendiri boleh memohon peruntukan dari Pusat untuk menaiktaraf klinik di Rantau malah di seluruh Negeri Sembilan. Adakah kemenangan PKR sahaja akan membolehkan sesebuah klinik menerima peruntukan untuk menaiktaraf atau beliau mahu menyatakan Pakatan Harapan tidak ambil kisah kebajikan rakyat selama hampir setahun memerintah? Streram perlu diingatkan jika sekalipun beliau menang, beliau perlu memohon di dalam Dewan Undangan Negeri sebelum permohonan dipanjangkan ke kerajaan Pusat. Itupun belum tentu peruntukan diluluskan jika kerajaan Pakatan Harapan kini sering menggunakan alasan kewangan Malaysia kritikal.

Patutlah seorang calon bebas enggan memberi apa apa kenyataan kepada media. Beliau tahu padahnya bila tersalah memberi kenyataan seperti apa yang dilakukan calon PKR. Nampaknya PKR telah tersalah memilih calon dan amat wajar sekali apabila beliau tidak dibenarkan 'membuka mulut' kepada media kerana jelas sekali calon PKR belum cukup 'Haul' dalam memberi kenyataan berfakta.

Sadis sekali jika PKR diberikan peluang mewakili Dun Rantau kerana calon tidak jelas dengan tindakannya sendiri. Sudahkah beliau lupa bagaimana Pakatan Harapan menutup Klinik 1Malaysia yang diusahakan Najib untuk kemudahan rakyat mendapat rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital? Ternyata calon PKR ini hanyalah sekadar menjadi 'Badut Sarkis' untuk menyelamatkan imej Presiden PKR sendiri yang dikatakan akan mencipta sejarah memegang rekod sebagai 'Bakal PM' paling lama di Malaysia.

Pkr perlu mempersiapkan mental mereka berdepan kekalahan ditangan Tok Mat Hasan pada hari pengundian kelak. Anwar pula perlu menerima hakikat, karier politik beliau kini sudah berada dihujung terowong. Beliau semakin hilang 'Aura' dan perlu melepaskan kedudukannya selaku Presiden kepada Timbalan selepas 13 April 2019.

Saturday 30 March 2019

PRK RANTAU - POTENSI PAKATAN HARAPAN BAKAL RANAP JIKA CALON PKR DIBENARKAN BERCAKAP KEPADA MEDIA, PROTES DILANCARKAN CALON BEBAS.

Calon PKR Tidak Dibenarkan Interaksi Dengan Media, Siapa Akan Jadi Jurucakap Streram?



Hari pertama kempen Pilihanraya Kecil N27 Rantau bermula selepas 4 calon disenaraikan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) selepas tamat tempoh bantahan. Situasi yang menarik di apabila penyokong BN bertukar menjadi lautan biru menguasai pemandangan sebelum penamaan calon turut diwarnakan penyokong PAS yang hadir dengan pelbagai slogan dan pemakaian menggambarkan penyatuan Ummah. Komponen BN (MCA,MIC dan lain lain) turut tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan penyokong PAS memberi warna yang digeruni Pakatan Harapan.

Bagaimanapun ada beberapa kisah dramatik yang menyelubungi Pakatan Harapan dan Calon Bebas. Seorang calon bebas yang bertanding, Malar Rajaram bertindak melakukan 'Protes Senyap' selama 2 hari kerana calon PKR tidak dibenarkan bercakap kepada media. Menurut Malar tindakan protes senyap (tidak berkempen) yang dilakukannya kerana membantah tindakan kepimpinan PPBM yang tidak membenarkan Aiman bercakap kepada media di Prk Semenyih. Aiman yang telah mengeluarkan kenyataan "Hari ini saya menang, esok kita (PH) selesai masalah" mengingatkan ceramah Anwar Ibrahim yang pernah berjanji kepada audien dengan nada sama, malah Pakatan Harapan turut melakukan perkara tersebut dalam Manifesto PRU lepas. Malar turut cuba mengaitkan tindakan sama di Prk Cameron Highlands di mana calon ketika itu kurang berinteraksi dengan pihak media.



Baca - Protes Senyap

PKR sudah tentu enggan melakukan kesilapan calon PPBM di Prk Semenyih kerana di Rantau rata-rata melihat pertarungan ini bukanlah gelanggang Streram sebaliknya menjadi medan Anwar menentang Dato Seri Utama Mohamad Hj Hasan. Pertembungan BN vs PH ini diibaratkan sebagai berat sebelah kerana calon PKR tidak mempunyai kekuatan akar umbi malah komunikasi dua hala turut menjadi penghalang beliau berinteraksi. Dalam cubaan mempromosi dirinya yang divideokan, Streram kelihatan tidak menguasai Bahasa Kebangsaan dengan baik hingga apa yang diperkatakannya hampir tidak difahami. Ini adalah berbahaya buat PKR kerana kemungkinan berlaku salah faham maklumat serta isu bakal meranapkan impian Anwar Ibrahim yang disebut sebut sebagai 'Bakal PM Ke-8' selepas Tun Mahathir.

Kegusaran PKR dalam Prk ini berasas kerana rakyat melihat KEGAGALAN Pakatan Harapan secara keseluruhan selepas berjanji 'Bulan dan Bintang' hanya untuk menumbangkan BN. Selepas hampir 11 bulan Pakatan Harapan memerintah, rakyat semakin mempersoalkan kemampuan PH mengurustadbir Malaysia dengan pelbagai masalah yang ditimbulkan pihak PH sendiri. Dari dapur hingga ke perniagaan global, Malaysia kini semakin merudum dibawah Pakatan Harapan dan Anwar sudah pasti enggan mengambil alih pentadbiran yang lemah daripada Tun Mahathir.  Kini semua mata tertumpu kepada Anwar untuk memastikan Streram menang dan sebagai langkah berjaga jaga calon PKR tidak akan diberikan peluang bercakap visi dan misi beliau untuk pengundi Dun N27 Rantau.




Friday 29 March 2019

SELESAIKAN ISU TEROWONG DULU, JANGAN SIBUK URUSAN PAHANG - DEMONSTRASI BANTAHAN TERHADAP TIMB.KETUA MENTERI P.PINANG

"Jangan Campur Urusan Pahang, Kami Sokong Tindakan MB Pahang" - Rakyat Cameron Highlands



Satu demonstrasi bantahan oleh penduduk Cameron Highlands berkaitan campur tangan Timbalan Ketua Menteri P.Pinang berlangsung dihadapan Balai Polis Brinchang sekitar jam 2.45 petang. Pelbagai kain rentang dan placad turut dipamerkan mengecam tindakan BIADAP Dr Ramasamy yang mendesak agar Menteri Besar Pahang meletakkan jawatan kerana bertindak tegas terhadap peneroka haram yang mengusahakan kebun sayur di sepanjang Sg Ichat dan Sg Terla.

Tindakan keras kerajaan negeri dilakukan kerana laporan pencemaran akibat penerokaan tanah dan penggunaan racun berjadual telah mencemari sungai yang menjadi sumber air untuk Cameron Highlands disamping kesalahan lain lain yang didapati melanggar undang undang.

Bagaimanapun Ramasamy yang konon mahu menjadi Juara Pekebun ini bertindak secara tidak profesional dan bersifat mahu 'membalas dendam' kerana kekalahan calon DAP pada Prk lepas.


Menurut Saudara Azizi Ahmad yang ditemubual menyatakan demonstrasi ini adalah untuk memberitahu Ramasamy supaya tidak mencampuri urusan Kerajaan Pahang dan lebih baik bagi Ramasamy menjaga kebajikan rakyat P.Pinang terlebih dahulu.




Thursday 28 March 2019

RAMASAMY PATUT CERMIN ISU TEROWONG DI P.PINANG DAN BUKAN JADI 'ATUK BAWANG'

Jangan Jadi 'Atuk Bawang' - Selesaikan Isu Terowong Dulu Sebelum Sibuk Hal Negeri Lain


Tindakan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang mendesak Menteri Besar Pahang meletakkan jawatan adalah sesuatu yang tidak munasabah. Hanya kerana Kerajaan Negeri bertindak terhadap pengusaha kebun sayur (Haram) Dr Ramasamy berpendapat Dato Sri Wan Rosdy telah gagal mentadbir Pahang. 

Baca penjelasan isu CH - ISU TANAH CAMERON HIGHLANDS

TKM P.P ini perlu diingatkan supaya tidak mencampuri hal ehwal pentadbiran negeri lain apabila P.Pinang sendiri tidak lekang dengan kontroversi pentadbiran sejak zaman Lim Guan Eng hingga hari ini. Terbaru krisis penduduk PPR telah membuka pekung pentadbiran negeri P.Pinang apabila penyewa bertindak berlindung di Kompleks Tun Razak apabila mereka diusir dari kediaman atas pelbagai alasan. Paling menyayat hati ada seorang penyewa yang berkerusi roda turut menjadi mangsa pentadbiran P.Pinang. Bagaimana Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri menjaga rakyat P.Pinang? Inikah imej seorang Yang Berhormat untuk mendesak Menteri Besar Pahang meletakkan jawatan?

Juga baca - ISU CAMERON HIGHLANDS

Memerhati tindakan Ramasamy ini seperti ada alasan beliau bagi mengalih perhatian dalam beberapa isu panas membabitkan Bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Bagi meredakan suhu maka beliau terpaksa menyerang negeri lain agar isu sebenar P.Pinang tidak diperkatakan rakyat sekaligus menutup kebobrokan kerajaan P.P di bawah DAP.

Tonton juga laporan - TONTON VIDEO

Ramasamy seharusnya sedar beliau tidak layak mencampuri pentadbiran Pahang apatah lagi negeri ini ditadbirurus Barisan Nasional. Hanya dengan satu lawatan, Ramasamy secara dangkal merumuskan kerajaan negeri Pahang bertindak salah terhadap isu pencerobohan tanah di Cameron Highlands sedangkan beliau tidak faham kisah sebenar yang berlaku. Bagi rakyat Pahang, kenyataan Ramasamy dianggap sebagai BIADAP dan mereka mengecam TKM P.P itu dengan pelbagai cara menggunakan platform maya.

Apakata Ramasamy jelaskan isu sebenar yang semakin diperkatakan mengenai Terowong Dasar Laut Pulau Pinang dimana kos kajian sahaja dikatakan mencecah RM300 juta. Bukankah ini pembaziran WANG RAKYAT? Adalah lebih baik wang sebanyak itu digunakan bagi membaikpulih infrastruktur negeri menghadapi musibah seperti banjiir yang pernah berlaku. Setidaknya dengan harga sedemikian banyak kerajaan negeri mampu menyediakan kediaman MAMPU MILIK untuk rakyat P.Pinang yang berada di kelas pertengahan dan bawah. Mengapa hanya dibazirkan kepada projek yang terlalu besar skala perbelanjaan?

Baca - SKANDAL TEROWONG P.PINANG

Apa penjelasan Ramasamy mengenai hal terowong? Sibuk sangat mahu mencatur kedudukan Menteri Besar Pahang tetapi LUPA akan kisah dalam kain di P.Pinang. Terlalu banyak kisah kepincangan DAP selaku kerajaan negeri selepas mereka memerintah dan Ramasamy pula berdiri sebagai boneka? Mengapa serang Pahang?

Baca lagi - KANTOI KISAH TEROWONG DASAR LAUT

Sebagaimana diketahui umum, Pahang antara 2 buah negeri yang masih ditadbir Barisan Nasional sebagai kerajaan negeri dan ini sudah tentu menyakitkan hati mereka (DAP) kerana GAGAL menawan Cameron Highlands pada Prk baru-baru ini. Sebagai 'Menebus Malu' apakah Ramasamy sengaja dihantar oleh DAP untuk memberi imej buruk terhadap MB Pahang selepas Adun Tanah Rata yang juga wakil DAP tidak berani mengangkat muka kerana Manogaran (Calon DAP) kalah teruk di tangan Ramli Mohd Nor?

Ramasamy mungkin perlu CERMIN BESAR didalam pejabat TKM P.P untuk melihat KEGAGALAN DAP sendiri mentadbir P.Pinang sebelum bertukar menjadi 'Atuk Bawang' dan cuba menjuarai isu Cameron Highlands.


Monday 25 March 2019

PRK RANTAU - ANWAR KEKAL 'BAKAL PM', PERBALAHAN DALAMAN PAKATAN BERI ISYARAT PKR SUDAH HILANG TARING


"Jika Tidak Tahan Panas, Sila Keluar Dari Dapur"

Sindiran pedas dinyatakan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dipercayai merujuk kepada kenyataan Nurul Izzah yang menyatakan kesukaran berkerjasama dibawah pentadbiran Diktator. Turut memperkatakan mengenai pengalaman beliau dan keluarga, Izzah turut mengimbau sejarah hitam yang berlaku pada 1998 dimana Anwar Ibrahim dipecat oleh Mahathir dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Walau tidak menyebut secara spesifik siapa yang disindirnya, ciapan Azmin sebenarnya menjelaskan kebenaran kisah perpecahan dalaman PKR sedang berlaku dan hanya menunggu masa untuk terburai. Semalam Anwar telah menjelaskan mengapa Izzah enggan bertanding pada Pru15 dan meletakkan jawatan dalam JawatanKuasa Kira Kira Negara. Beliau berbuat demikian kerana mahu Pengerusi PAC dilantik dari kalangan pembangkang namun kecewa hasrat itu tidak diterima Perdana Menteri sebaliknya mengekalkan Pengerusi sedia ada.


Adakah krisis kesetiaan sedang terjadi dalam PKR kerana kenyataan Azmin seakan memberi petunjuk beliau mungkin akan bertindak diluar jangkaan jika terjadi sebarang rombakan kabinet? Anwar sudah pasti dapat menghidu pergerakan dalam kumpulan yang dilabelkan sebagai Pro Kartel dan tidak mustahil akan berlaku pemecatan keahlian dalam PKR untuk memudahkan Anwar menyusun barisan kepimpinan PKR yang setia kepadanya bagi mengambil alih jawatan PM seperti yang dijanjikan oleh Mahathir. Dikatakan juga kempen Prk Rantau akan dimaksimumkan sebagai pentas meyakinkan rakyat beliau (Anwar) akan menjadi PM selepas menawan Rantau menerusi Streram yang akan menentang Tok Mat Hassan.

Jika melihat trend hari ini semakin hampir tarikh penamaan calon semakin tenggelam kisah Streram sebaliknya Anwar yang ditampilkan dan kisah Izzah melabelkan Mahathir sebagai diktator mula mengambil alih suasana kempen Pakatan Harapan. Andai perkara ini berterusan bolehlah disahkan Pakatan Harapan kini bergolak selepas 2 kekalahan kepada Barisan Nasional dalam 2 Prk lalu. Kerjasama BN dan Pas turut memberi impak positif selain kerajaan PH dibelenggu dengan 'Kebodohan Melampau' Menteri yang dilantik Mahathir. Kegagalan Manifesto PH juga telah membuka mata rakyat terutama generasi muda pelbagai kaum sejak 10 Mei 2018 mereka sebenarnya telah terpedaya dengan janji manis PH. Bayangkan apabila Mahathir menyarankan rakyat mengamalkan minum sesudu minyak sawit sebagai tanda sokongan terhadap industri sawit negara. Itu sahaja beliau dan Pakatan Harapan mampu fikirkan sebagai solusi menangani kejatuhan harga sawit Malaysia? 


Kempen PH di Rantau juga dikatakan tidak mendapat sambutan dari parti sekutu kerana mereka mahu Anwar buktikan beliau layak menggantikan Mahathir, kalah di Rantau maka mesej jelas telah diberikan Anwar hanya kekal sebagai Ahli Parlimen biasa tanpa sebarang jawatan dalam kabinet. Emtah berapa pula 'Wang Hangus' akan dilaburkan PKR dan Pro-Presiden dalam kempen Rantau bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PKR.

Pengundi Rantau perlu sedar mereka sebenarnya hanya akan digunakan bagi cita cita politik. Sudah pasti akan ada 'Janji Manis' dalam kempen bagi memenangi hati pengundi Melayu, Cina dan India Rantau. Mereka (Pengundi) hanya akan menerima senyuman manis ala model dan semburan 'Air Liur' sebagaimana yang berlaku dalam kempen Pakatan Haralan di Semenyih tempohari. Apakah pengundi Rantau akan terpukau dengan semua ini kelak? Mereka (Pakatan Harapan) bergolak, PKR bergolak jadi apa nasib rakyat Rantau jika memilih PH? 


Sunday 24 March 2019

PRK RANTAU - SISTEM SEMAKAN PEMILIH ROSAK ATAU DIROSAKKAN MENJELANG PENAMAAN CALON?

'Terancang atau Dirancang', Sistem Semakan Pemilih SPR Tidak Berfungsi



Gempar apabila sistem semakan daftar pengundi di laman sesawang rasmi Suruhanjaya Pilihanraya tidak dapat mengesahkan rekod pengundi yang cuba mengakses bagi mengetahui lokaliti dan tempat pengundian.

Tinjauan dalam laman facebook mendapati rata rata netizen merungut mengenai perkara tersebut. Mengapa ini berlaku dan tiada pengumuman rasmi SPR jika sistem sedang dinaiktaraf? Menjelang penamaan calon PRK Rantau, perkara ini sudah tentu meresahkan pengundi yang akan memilih calon mereka pada 13 April depan. Adakah berlaku sabotaj dalaman dan tidak disedari pihak SPR atau ia disengajakan atas arahan tertentu bagi mengelakkan maruah pihak tertentu tercalar lagi?



PRK RANTAU - ANWAR PERSIAP DIRI AMBIL ALIH KERUSI MO1 PAKATAN HARAPAN DAN SINGKIR MAHATHIR SELEPAS PILIHANRAYA RANTAU?

Anwar Salahkan Mahathir Bila Izzah Enggan Teruskan Legasi Di Permatang Pauh?



Dalam kesibukan menghadapi Prk Rantau, Ahli Parlimen Permatang Pauh dari PKR menarik publisiti bila mengumumkan tidak akan bertanding pada PRU15 kelak. Papa (panggilan Nurul Izzah kepada Anwar) sudah pasti terpukul dengan kenyataan bekas Naib Presiden PKR yang berdiam diri sekian lama. Hasrat Anwar untuk berkhemah di Rantau juga kelihatan seperti tidak akan berlaku kerana sudah pasti 'Papa' perlu memujuk anaknya menyertai dan membantu menguatkan kempen bagi memastikan maruah PKR tidak tercalar seperti yang terjadi pada DAP dan PPBM pada 2 prk baru baru ini.

Anwar tampil menjelaskan sebab kekecewaan Izzah. Sebagai ahli politik yang pernah menyandang gelaran 'Puteri Reformasi', tindakan beliau mudah diterjemahkan. Walau pernah menyatakan apa yang terjadi kepada 'Papa' pada 1998 adalah luka kecil, amat mustahil baginya melupakan parut yang tertinggal. Sebalik senyuman bila berdepan dengan individu yang pernah membuat dakwaan perlakuan songsang serta menjatuhkan Anwar dari kedudukan kedua tertinggi dalam politik tanahair siapa tahu apa yang tersirat? Pemecatan Anwar dari politik negara tercatat sebagai 'Sejarah Hitam' buat seluruh keluarga dan amat mustahil bagi seorang anak melupakan saat bapanya diheret keluar dari kediaman ketika itu. 

Walau bergandingan dalam Pakatan Harapan, kerjasama yang berlaku bukanlah seindah mimpi ketika mahu baligh. Kesepakatan mengangkat Tun M sebagai Perdana Menteri walau parti yang diwakilinya ada 13 kerusi dari jumlah keseluruhan yang dimenangi PH pada Pru14 hanyalah sandiwara terancang dan hakikat inilah yang perlu dihadam penyokong PKR. Selepas berkorban membenarkan Bendera PKR digunakan, Presiden PKR semasa itu hanya diletakkan sebagai orang nombor 2 sedangkan mengikut kiraan 'Sempoa', Malaysia boleh mencatat sejarah mendapat Perdana Menteri Wanita pertama namun disebabkan 'Papa' masih dibelakang 'tirai besi' hasrat tersebut dipendamkan bagi memberi laluan kepada Penasihat (bukan Presiden) PPBM. Bayangkan 'Puteri Reformasi' hanya mampu melihat sahaja individu yang memecat 'Papa' tersenyum di kerusi Perdana Menteri dan beliau (Izzah) tidak mampu berbuat apapun.

Memburukkan lagi keadaan dalam menguatkan kedudukan dalam PH, PPBM telah menerima pula ahli parlimen dan sesiapa sahaja yang berpaling tadah dari Umno. Selama hampir 20 tahun Izzah berdiri menentang Umno dan baru mengecapi hasil dengan 'menggunakan' elemen Melayu dan meyakinkan pengundi Cina dan India dalam PKR, secara tiba tiba Mahathir membuat onar dengan mengambil bekas Umno masuk ke kem PH secara 'Borong' tanpa mengambil kira 'Hati' sekutu dalam PH. 

Kini 'Permainan' semakin menarik apabila retak dalam Pakatan Harapan yang cuba disorokkan selama ini semakin terbelah. Anwar sudah pasti akan menuntut janji diberikan giliran menjadi PM selepas 2 tahun namun kini sudah  mulai kedengaran suara sumbang yang tidak mahukan Anwar menggantikan Mahathir berdasarkan apa yang telah beliau (Tun M) bongkarkan pada 1998. Malah kedengaran juga ada konspirasi dalam PH sendiri yang mahu menyingkirkan PPBM setelah Mahathir dilihat semakin mencengkam segala keputusan yang sepatutnya mendapat persetujuan semua pihak dalam PH. Sejauh mana konspirasi tersebut berjalan tidak pula diketahui statusnya.

Prk Rantau yang dijadikan medan pertarungan 'Maruah' Presiden PKR tentu akan memberi impak negatif jika mereka (PKR) kalah di tangan BN buat kali ketiga berturut selepas kekalahan Dap dan PPBM. Anwar tentunya mahu dilihat sebagai individu paling layak mengambil alih jawatan PM sekiranya Pkr menang namun natijah akan menanti jika kalah. Secara automatik Anwar akan dilabelkan sebagai tidak layak menjadi PM dan kekal bergelar 'Bakal PM' kalau calon mereka kalah pada 13 April 2019. Jadi apakah solusi terancang Anwar bagi memperlihatkan beliau masih mempunyai aura politik seperti 20 tahun lampau? 

Untuk menuding secara terus kerakusan Mahathir menerima ahli parlimen yang melakukan 'Lompat Katak' adalah mustahil kerana mampu menjejaskan peluangnya menggantikan Tun. Adakah tindakan Izzah mengeluarkan kenyataan berbaur kecewa dengan tindak tanduk Mahathir dipergunakan Anwar bagi menyerang PM bagi menjatuhkan imej Mahathir? Tidak mustahil apa sahaja boleh berlaku dalam politik kalau tidak masakan Anwar boleh berlakon mengenakan pendakap leher dan berkerusi roda ke Mahkamah bagi meraih simpati rakyat. Politik 'Kewayangan' yang dilakonkan serta naratif perjalanan cerita politik Anwar sudah boleh dibaca. Untuk mencapai impian apa sahaja boleh dilakukan asalkan ia kelihatan 'Halal' kepada rakyat.

Pengundi Rantau perlu dikejutkan agar tidak lagi tertipu dengan adegan 'Sebabak' PH bagi mengalih perhatian pengundi dari manifesto PH yang GAGAL TOTAL sejak 10 bulan lepas. Teknik mengalih serta mengajak pemikiran rakyat terutama pengundi secara susun atur skrip kini tidak lagi relevan. Rakyat terutama pengundi PH berharapkan semua manifesto ditunaikan namun apa yang berlaku adalah sebaliknya dan natijahnya telah terbukti!

Saturday 23 March 2019

PRK RANTAU - PERKHEMAHAN ANWAR BAWA 'RAHMAT' BUAT PENGUNDI RANTAU KETAHUI KISAH BENAR SEBALIK PEMECATAN?

Rantau Medan Terbaik Anwar Jelaskan Dakwaan Mahathir Sebelum Disingkirkan Pada 1998



Pilihanraya Kecil Dun Rantau berkisar mengenai pertembungan BN dan PH. Parti Keadilan Rakyat mempertaruhkan Dr Steram bagi menentang penyandang kerusi tersebut Dato Seri Mohammad Hasan pada 13 April 2019. Walau dijangkakan akan timbul calon bebas samada tajaan pihak tertentu atau sengaja mahu menghabiskan wang pertaruhan tidak akan menjejaskan perhatian pertembungan 'Epik' buat 2 parti ini.

Dikenali dengan panggilan Tok Mat, Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas Presiden Umno dan Pengerusi BN telah membangkitkan 'Berahi' PKR setelah 2 kekalahan Pakatan Harapan ditangan BN selepas mereka merampas Putrajaya pada 10 Mei 2018. Apatah lagi Steram yang GAGAL melawan Tok Mat pada PRU14 lepas pasti menjadikan Prk ini medan membalas 'Dendam' kerana 'kebodohan' sendiri sehingga tidak dibenarkan bertanding oleh SPR ketika itu.

Bagaimanapun Steram hanyalah watak sampingan dalam Prk ini. 'Hero' sebenar yang perlu diberikan perhatian ialah Ahli Parlimen Port Dickson merangkap Presiden PKR sendiri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau yang menyatakan akan 'Berkhemah' di Rantau sepanjang kempen tentu mempunyai strategi tersendiri dalam mencari kemenangan supaya tidak diperlekehkan sekutu dalam PH. Daripada 4 parti utama dalam gabungan PH, 2 sudah terbukti DITOLAK RAKYAT dalam 2 prk berbeza dan PKR yang membenarkan Lambang mereka digunapakai PH ketika PRU14 sudah tentu enggan maruah PKR pula tercalar apatah lagi Anwar kini SAH bergelar Presiden selepas sekian lama menjadi 'KETUM' (Ketua Umum) PKR.

Rakyat pasti ingat sejarah pemecatan Anwar ketika zaman Dr Mahathir. Dakwaan salah laku yang dibentangkan Mahathir amat mengejutkan malah Perdana Menteri Ke-4 itu dalam sidang media kepada media termasuk media asing membuat kenyataan bahawa Anwar bukanlah seorang yang boleh diberikan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri kerana kelakuan yang bertentangan dengan norma kehidupan manusia normal. Dakwaan demi dakwaan serta pengakuan Mahathir menemuramah saksi perlakuan Anwar (ketika itu) membawa dimensi baru dalam politik tanahair. Reformasi yang dilancarkan Anwar menentang Mahathir telah mencetus revolusi demonstrasi jalanan yang meresahkan rakyat secara keseluruhan dan Mahathir terpaksa bertindak atas kapasiti beliau selaku PM.

Rantau mungkin boleh meleraikan persoalan yang selama ini menghantui rakyat! Ingat lagi dakwaan Anwar dan keluarga berkaitan Arsenik? Adakah Anwar BERANI mendedahkan kebenaran dakwaan Mahathir 21 tahun yang lampau? Beranikah Anwar mendedahkan segalanya di Rantau? Alang-alang berkhemah, apakata Anwar jelaskan dan rungkaikan segala persoalan serta memberi ruang kepada rakyat untuk bertanya kisah itu agar tidak lagi menjadi bualan atau tembok bagi beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Tun M sebagaimana perjanjian dalam Pakatan Harapan sebelum ini.

Mudah-mudahan Anwar punyai kekuatan untuk bercakap benar dan bukan sekadar mengampu Mahathir sebagaimana beliau lakukan hari ini selepas kembali menjadi Ahli Parlimen. Steram sendiri belum tentu berani memperkatakan atau menidakkan dakwaan yang pernah Mahathir  lemparkan pada Anwar ketika itu. Anwar yang semakin hilang reformis reformis semasa kegemilangannya kini bagaikan 'Burung Tekukur' yang menggangguk bila 'Tuan' memetik jari. Kepincangan PH mentadbir serta mengurus negara tidak diperkatakan Anwar yang pernah terkenal lantang menentang kebobrokan pemerintah. Jika ada kenyataan dari beliau (Anwar) ia sekadar 'Melepaskan Batuk Di Tangga' demi kelangsungan karier politik dan 'Menjaga Hati' penyokongnya sahaja. Anwar hari ini bukanlah Anwar sebelum dipecat Mahathir dari jawatan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Adakah Anwar cukup berani membongkar segalanya di Prk Rantau? Jangan lupa Anwar pernah mendakwa pelbagai perkara mengenai Mahathir termasuk memperkatakan bagaimana Mahathir membina empayar kekayaan anak anak beliau. Malah Anwar juga pernah mendedahkan sejumlah wang berkaitan sebuah syarikat yang beroperasi di Filipina dan menamakan anak Mahathir sebagai pemilik saham teebesar ketika itu.  Sudah hilangkah dakwaan Anwar yang menyebut mengenai kekayaan tersebut?  Anwar perlu BERANI jika mahu menjadi Perdana Menteri Ke-8 dan kesempatan ini hanya ada di Prk Rantau. Jika beliau tidak BERANI mengambil risiko maka besar kemungkinan gelaran 'Bakal Perdana Menteri' akan kekal disandangnya sehingga hujung karier politik.

Thursday 21 March 2019

PRK RANTAU - SEHINGGA HARI PENAMAAN, PERTUKARAN CALON TIDAK MUSTAHIL TERJADI

Rantau Bakal Saksikan Percaturan Calon 'Luar Jangkaan'?



Pertembungan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan sudah pasti akan jadi tumpuan selepas 2 pilihanraya kecil yang menyaksikan tersungkurnya calon Pakatan Harapan dari 2 parti berbeza. DAP dan PPBM telah mengecapi kekalahan agak memalukan walau dibantu jentera dari seluruh negara yang digerakkan oleh PH dan kini PKR mahu menebus kekalahan tersebut.

Walau ada desas desus mengenai keretakan hubungan dalaman PKR, perkara tersebut tidak menghalang kempen bersepadu di bawah pemantauan badan tertentu. Sebagai calon yang direstui Presiden PKR gerak kerja kempen dikatakan dikepalai Invoke dan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli. Sejauh mana penglibatan Invoke dalam kempen tidak dapat dipastikan namun dipercayai dengan bantuan seorang individu yang dikenali sebagai Chegu Bard, kempen dijangkakan akan lebih menarik. Pelbagai isu akan diketengahkan bagi meraih perhatian pengundi Rantau. Tidak kurang tinjauan sikap serta kempen mempengaruhi pengundi dikatakan turut dibantu sebuah pertubuhan yang pernah disertai Chegu Bard.

Bagaimanapun di pihak Barisan Nasional pula kempen agak berbeza. Membawa pengundi mengimbau jasa jasa Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum kejatuhan kerajaan negeri pada 9 Mei 2018, adakah berbaloi bagi pengundi memilih Tok Mat sekali lagi mewakili suara rakyat Rantau? Jentera kempen BN perlu realistik dalam apa yang dianggap pertembungan 'Maruah' dan kempen dengan menyandarkan 'Kenangan dan Jasa' sahaja nampak tidak menyakinkan bagi mengekalkan Tok Mat di Dewan Undangan Negeri Sembilan. Walau pendekatan pengundi oleh komponen BN sudah kelihatan bergerak, tidak mustahil berlaku pertukaran calon BN di saat akhir. 

Dalam politik percaturan kalah menang amat kritikal jika bacaan peratusan tidak menyebelahi calon yang dikemukakan parti. Pernah atau tidak BN terfikir apa akan berlaku seandainya Tok Mat kalah di Prk Rantau? Pertama sekali sudah tentu maruah Umno akan diperlekehkan malah kerjasama BN turut akan berada dalam keadaan genting. Tuding menuding boleh berlaku seandainya calon kalah walau dibantu PAS dalam ertikata kerjasama politik. Tidakkah ini berbahaya jika pengundi Rantau menolak Tok Mat kerana yakin dengan apa yang dibentangkan Pakatan Harapan? Kedudukan Tok Mat selaku Timbalan Presiden yang menjalankan tugas Presiden Umno bakal dipertaruhkan dalam PRK ini. Berbaloikah Umno untuk mengorbankan Timbalan Presiden dengan berharap momentum Cameron dan Semenyih? 

Mungkin risiko ini perlu dipertimbangkan oleh kepimpinan BN malah Tok Mat sendiri perlu berwaspada dengan serangan politik pihak lawan terhadapnya. Kekangan media massa audio visual perdana merupakan antara perkara yang perlu juga dikaji dengan teliti. Serangan PH sudah tentu akan lebih kerana Umno meletakkan Timbalan Presiden sebagai calon dan bagi PH untuk me'mati'kan nyawa Umno adalah dengan cara 'membunuh' maruah Umno yang kini dipikul Tok Mat.

Sudahkah Umno, BN bersedia sepenuhnya menghadapi serangan Pakatan Harapan dan bala tentera mereka di media sosial?

*artikel ini hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili mana mana parti politik*

Saturday 16 March 2019

AMARAN KEGANASAN KERJASAMA UMNO-PAS, SIAPA BERMAIN API PERKAUMAN?

DAP Serlah Belang Sebenar - 3 Pemimpin, 3 Kenyataan



Beberapa kenyataan oleh pemimpin DAP kebelakangan ini telah menyerlahkan keperibadian sebenar parti tersebut. Bermula dengan kenyataan Setiausaha Agung DAP diikuti Ahli Parlimen Teluk Intan dan semalam Adun Mengkibol menjurus kepada kerjasama Umno-Pas. Adakah ini standard pemikiran DAP? 'Menghalalkan' apa sahaja yang berlaku asalkan boleh kaitkan dengan kerjasama Umno-Pas untuk kepentingan politik DAP walau ia membabitkan nyawa yang tidak bersalah?

 Baca - 'Taiko DAP'

Timbalan Speaker DAP yang menggambarkan kerjasama Umno-Pas akan mewujudkan sebuah kerajaan Taliban turut dikecam oleh rakyat dan telah disuarakan dalam Parlimen semasa sidang berlangsung.

Baca - Taliban

Kenyataan Adun Mengkibol kemudiannya ditarik semula selepas menerima kecaman warganet. Carian di media sosial mendapati Page FB Chew Chong Sin telah ditutup.

Ternyata insiden yang membabitkan Islam cuba dimanipulasi oleh pimpinan DAP selepas mereka gusar kerjasama yang dijalinkan Umno-Pas telah terbukti dalam 2 pilihanraya kecil - Cameron Highlands dan Semenyih. Mengapa pemimpin DAP begitu 'senget' memandang Orang Melayu dan Islam? Dalam sebuah negara majmuk dan keharmonian antara kaum merupakan kekuatan Malaysia, pandangan pemimpin DAP agak berbahaya dan menjurus kepada perpecahan antara kaum. Adakah ini sebahagian dari agenda 'Pecah dan Perintah' seperti pernah dilaksanakan di sebuah negara jiran dan DAP mahu mengimplementasikan cara tersebut di Malaysia? 




Sebagai Adun kenyataan sebegini telah menggambarkan 'Hati Perut' sebenar DAP dan ternyata mereka (DAP) sering mengambil kesempatan bagi melabelkan Islam sebagai Agama Pengganas sedangkan Perdana Menteri New Zealand sendiri membuat kenyataan bahawa pelaku yang membunuh Umat Islam dalam Masjid tersebut akan dihukum sewajarnya dan perbuatan tersebut tidak di terima samada di New Zealand atau di mana mana. Jadi bagaimana Chew boleh mengaitkan insiden berdarah tersebut dengan Umno,Pas jika beliau tidak berniat mahu menakutkan rakyat?

Thursday 14 March 2019

"AWAK SEMUA YANG VOTE FOR THIS..UP TO YOU" - TENGKU MAHKOTA JOHOR KOMEN ISU PASIR GUDANG

TMJ Kecewa Dengan Kelewatan Tangani Krisis Pasir Gudang


Tengku Mahkota Johor meluahkan kekesalan Baginda dalam laman twitter berkaitan krisis yang melanda rakyat di Pasir Gudang. Baginda juga menaikmuat komen yang sinis dan dipercayai ditujukan kepada pihak tertentu.

Baca -UP TO YOU

TMJ juga mempersoalkan mengapa tiada arahan atau perintah Darurat dikeluarkan kerajaan apabila melihatkan angka mangsa semakin meningkat. Dilaporkan seramai 2,775 mangsa menerima rawatan kerana krisis toksik yang berlaku.


"Kalau cakap banyak sangat orang tuduh berpolitik" - TMJ

Menteri Kesihatan menerusi kenyataan pada media menyatakan krisis tersebut tidak sampai membawa maut. Apakah kenyataan begini wajar dikeluarkan oleh seorang Menteri tatkala Istana Johor sendiri dalam kegusaran melihat apa yang terjadi. Baginda Sultan Johor telah memberikan peruntukan khas sebanyak RM1 juta bagi menangani krisis tersebut.




Marilah kita sama sama berdoa agar mangsa yang terlibat selamat dan kembali pulih dari kesan krisis tersebut.

Tuesday 12 March 2019

KENAPA SHAHBUDIN GUSAR ZAHID HAMIDI TIADA DI PARLIMEN?

Penulis Blog Risau Kelibat Zahid Tidak Kelihatan Di Parlimen



Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan tidak kelihatan pada Perasmian Sidang Dewan Rakyat semalam. Seorang penulis blog, Shahbudin Husin mempersoalkan dimanakah Zahid dan mula mengaitkan persoalan untuk menggambarkan Zahid sedang dalam perancangan melepaskan semua jawatan dalam Umno.


Mengapa Shahbudin tiba tiba prihatin terhadap Zahid? Perlu diingatkan selaku Presiden Umno, Zahid telah memberi mandat dan kepercayaan kepada Timbalan Presiden Umno menjalankan tugas tugas Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional sehingga selesai sebutan kes di Mahkamah. Besar pengorbanan Zahid untuk tidak mengheret Umno mahupun BN ke kancah Mahkamah sejajar dengan matlamat beliau yang mahu Umno dan BN 'Reform' selepas kekalahan pada Pru14. Untuk merealisasikannya beliau telah membuat keputusan untuk bercuti dari sebarang tugas samada Umno mahupun BN, malah Ketua Pembangkang dalam Parlimen mewakili BN juga telah dilantik sekaligus menolak andaian yang dikemukakan Shahbudin dalam entri blog beliau semalam.

Entri Blog -BACA SINI

Shahbudin sebenarnya tidak perlu risau kelibat Zahid tidak kelihatan tetapi beliau perlu fokus apa yang akan dibentangkan oleh kerajaan semasa sidang berlangsung. Suara rakyat yang semakin mendesak Pakatan Harapan menunaikan janji janji manifesto perlu diberikan keutamaan selain pelbagai perkara yang tidak relevan dicadangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Persoalkanlah mengapa kebanyakan Menteri sering mengeluarkan kenyataan bercanggah dan tidak masuk akal. Tanyakan kenapa ada kenyataan Menteri berkaitan dasar kerajaan berbeza pagi dan petang. Apa pentingnya Zahid kepada Shahbudin? Adakah beliau sekadar mahu menjadikan Zahid sebagai medium untuk dipersalahkan lalu dimomokkan kepada pembaca Presiden Umno kian hilang cengkaman hingga membawa kejatuhan Umno? Shahbudin sebagai bekas wartawan tentu ada naratif tersendiri yang perlu beliau angkat tetapi mengapa pilih Zahid? Pelik bukan? Ada 'Udang Sebalik Batu'? Harap Shahbudin jujur menjawap persoalan mengapa beliau memfokuskan ketidakhadiran Zahid semalam.

Saturday 9 March 2019

DAP MAKIN LANCANG BICARA SOAL KERJASAMA UMNO-PAS, NGA KOR MING MAIN SENTIMEN PERKAUMAN

Selepas Guan Eng Kini Kor Ming Pula Lancang, Anggap Kerjasama Umno,Pas Bakal Wujudkan Pemerintahan Taliban



Ibarat cacing kepanasan, pemimpin DAP semakin gelisah apabila kerjasama antara Umno dan Pas semakin di terima dan diterjemahkan dalam 2 pilihanraya kecil sebelum ini. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum ini mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam kenyataan beliau dan beranggapan kerjasama Umno,Pas merupakan pengisytiharan 'Perang' terhadap bukan Melayu namun kenyataan tersebut diolah semula selepaa menerima kecaman warganet.

Berang dengan kenyataan Guan Eng, laporan polis telah dibuat dari pelbagai peringkat rakyat demi keamanan rakyat Malaysia. Desakan turut ditekankan agar Guan Eng tampil memohon maaf atas KEBIADAPAN beliau namun pemimpin DAP itu masih dikuasai EGO. 



Terbaru seorang lagi pemimpin DAP bersikap lancang terhadap kerjasama Umno-Pas. Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming pula menyifatkan kerjasama antara 2 parti terbesar Melayu hanya akan mewujudkan pemerintahan Taliban seperti di Afganistan. Beliau turut menyatakan jika Umno,Pas berjaya membentuk kerajaan maka rakyat akan menderita dan "tiada jalan berpatah balik". Kegusaran Kor Ming ini hanyalah mengundang kebencian kaum lain terhadap Umno,Pas sekaligus boleh mencetuskan perasaan tidak selesa kaum lain apabila bergaul dengan orang Melayu. Kebiadapan Kor Ming sememangnya diketahui apatah lagi beliau pernah mencarut "Melayu Pu**m**" dihadapan audiens dalam ceramahnya. Kor Ming yang 'LARI' dari Parlimen Taiping ke Teluk Intan pada PRU14 sebenarnya perlu memandang kelemahan Pakatan Harapan sendirj sebelum menuding jari kekuatan kerjasama Umno,Pas.  Dap selaku parti dominan dalam PH sebenarnya lebih takut kehilangan pengaruh dan kini terdesak agar rakyat menjauhi Umno dan Pas.

Baca - JADI TALIBAN JIKA UMNO,PAS JADI KERAJAAN



Apa sebenarnya yang DAP mahu lakukan kepada Rakyat? Adakah kenyataan yang dikeluarkan pemimpin DAP akan membantu keadaan rakyat untuk menjadi lebih baik? Tidakkah Kor Ming sedar beliau sebenarnya mencurah 'minyak dalam api' apabila membuat kenyataan demikian? Semakin jelas pimpinan DAP dibayangi ketakutan kehilangan kuasa. Adakah kerana Pakatan Harapan berkuasa maka beliau (Kor Ming) kini kebal dari sebarang undang-undang apabila mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan menakut-nakutkan rakyat? Perlukah kenyataan membakar api perkauman terus-terusan dikeluarkan DAP hanya untuk memastikan survival politik parti untuk kelihatan 'Gagah' dan diyakini kaum TiongHua sebagai 'Pembela' mereka sepanjang masa? 


Rakyat sekarang tidak mudah diperbodohkan dengan kematangan berfikir soal politik Malaysia. Nga Kor Ming perlu berfikir sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengguris hati ramai dan perlu menghormati sikap toleransi pelbagai kaum selain BELAJAR MENGHORMATI PERLEMBAGAAN NEGARA YANG TERMAKTUB.

Friday 8 March 2019

BARISAN NASIONAL TETAP JAGA KEPENTINGAN ORANG ASLI, MB UMUM TANAH BERKELOMPOK UNTUK ORANG ASLI SELURUH PAHANG

Video - Barisan Nasional Terbukti Tepati Janji Jaga Kepentingan Orang Asli Pahang


Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan tanah berkelompok untuk Orang Asli seluruh Pahang akan diwujudkan. Beliau berkata demikian di hadapan hampir 1,000 Orang Asli di Pos Telanuk dalam Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Pahang ke Cameron Highlands pada 8 Mac 2019. 

Turut hadir bersama bekas Perdana Menteri Ke-6, Dato Sri Najib Razak. Kehadiran Najib sememangnya ditunggu masyarakat Orang Asli di tambah fenomena 'Bossku' yang melanda negara. Najib sempat memberitahu bahawa Rakyat adalah Boss kepada kepimpinan BN kerana merekalah yang menaikkan pemimpin. 

MB Pahang turut memberi penghargaan kepada masyarakat Orang Asli kerana mempercayai BN selama ini. Sebelum Pos Telanuk, Wan Rosdy dan Najib menunaikan Solat Jumaat di Masjid Sg Koyan 1 dan diikuti kenduri rakyat.

Wednesday 6 March 2019

'TAIKO' DAP BERSUARA MENGENAI MELAYU, MANA SUARA PPBM YANG MAHU BELA MELAYU?

Apa Maksud Guan Eng 'War On Non Malays'?





Setiausaha Agung DAP mengeluarkan kenyataan agak keras mengenai kerjasama Umno-PAS yang bersidang semalam di PWTC. Lim Guan Eng dalam kenyataan yang dikeluarkan Malaysiakini menyebut kerjasama politik Umno - PAS akan mensasarkan bukan Melayu dan bukan Islam sebagai 'mangsa' alasan penyatuan dua parti politik terbesar Melayu.



Kenyataan sebegini sebenarnya seolah mengajak golongan selain Melayu dan Islam agar menjauhkan diri dari Orang Melayu Islam jika tidak mahu menjadi sebahagian permainan politik parti Umno dan PAS. Menteri Kewangan juga menggambarkan persefahaman ini bakal menjadi 'peperangan' terhadap bukan Melayu sekaligus mewujudkan ketidakselesaan antara kaum berlaku. Inikah sikap seorang bergelar Menteri? Semua tahu DAP bersifat Cauvinis dan tidak pernah membuka ruang jawatan UTAMA dalam DAP kepada orang Melayu kecuali untuk di'KELDAI'kan, jadi tidak hairan jika parti yang memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia ini akan mengambil pendekatan 'BERMUSUH' dengan mana mana parti politik Pro Melayu waima seandainya sekutu mereka PPBM bertukar kepada Pro Melayu maka mereka turut akan 'Diperangi'.



Nada Guan Eng yang masih 'Trauma' dengan KEKALAHAN DAP di Prk Cameron Highlands turut digambarkan beliau, malah kerjasama UMNO-PAS di Semenyih juga dijadikan asas kenyataan yang disiarkan portal tersebut. Adakah Lim cuba memberi isyarat terhadap PPBM agar kembali melihat perjanjian asal kerjasama mereka dalam Pakatan Harapan dan mahu Tun M bertindak ke atas Umno dan Pas agar penyatuan ini tidak menjejaskan kedudukan DAP? Sebagaimana semua maklum dalam PH hanya PAN sahaja yang menumpahkan 'Taat Setia' mereka kepada DAP manakala PPBM pula menerusi Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengeluarkan kenyataan parti itu akan menjaga kepentingan Melayu dan perkara ini kurang disenangi DAP. Bagi sebuah parti yang teguh menjunjung Deklarasi Setapak, kenyataan Muhyiddin ibarat 'bom jangka' yang mampu meruntuhkan PH dari dalam manakala PKR pula tidak boleh diharapkan apatah lagi dengan kemelut dalaman yang melanda parti itu.

Berita Penuh Kenyataan Guan Eng - 'War' On Non Malays

Bukankah kenyataan sebegini mampu mewujudkan ketegangan antara kaum? Inikah taraf seorang Menteri Kanan yang dilantik Tun M mengetuai kewangan negara? Terlalu 'BIADAP' apabila kenyataan sebegini di buat hanya kerana mahu menGAGALkan kerjasama Umno-Pas yang telah berjaya menumbangkan PH dalam 2 PRK dan bakal menumbangkan PH sekali lagi di Rantau.

Adakah ini petunjuk Pakatan Harapan bakal berkubur dan Mahathir terpaksa membubarkan Parlimen? 

Paling kelakar Lim Guan Eng telah mengubah kenyataan beliau apabila mula dikecam.