Friday 20 March 2020

COVID-19, SARANAN BUAT KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA DARI PANDANGAN SEORANG DOKTOR

Tangani Covid-19 Dengan Berkesan, Rahman Kadir Beri Saranan Kepada Kementerian Kesihatan


Dikenali sebagai 'DARK', sudah agak lama beliau tidak menulis di media sosial. Ada juga saranan daripada beliau untuk dikaji oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memudahkan staf KKM yang merupakan barisan hadapan dalam menangani Covid19 ini.

Moga saranan beliau dapat membantu ramai staf KKM dalam memastikan bukan sahaja pesakit tidak menyebabkan virus merebak malah staf juga berperanan menghentikan kemaraan virus. Hargailah setiap nyawa rakyat Malaysia.
-----------------------------------------

By Dr Abdul Rahman Kadir.

Saya sudah lama tidak menulis. 
Dunia sedang dilanda wabak pandemik Covid-19. 

Sebagai barisan paling hadapan Hospital, pada ketika ini kami sedang bertarung dengan wabak ini di Jabatan Kecemasan. 

Masyarakat kita kini semakin sedar akan betapa pentingnya menjaga kebersihan diri dan betapa mudahnya kuman merebak. 

Rakyat diminta mengekalkan jarak, menjaga kebersihan diri, kerap mencuci tangan dan menghadkan pergerakan dalam tempoh ini disebabkan ancaman Covid-19. 

Apa yang mungkin masyarakat dan pembuat polisi kerajaan tidak tahu adalah betapa situasi mudah dijangkiti kuman ini telahpun para petugas kesihatan hadapi sejak sekian lama. 

Kami bekerja di dalam persekitaran yang terdedah kepada pelbagai pathogen (bakteria, virus, parasite, fungal, prions) yang mungkin dibawa oleh pesakit. 

Juga di hospital sendiri terdapat pelbagai jenis kuman ‘super bugs’ yang kalis antibiotik atau lebih dikenali sebagai Multi Resistant Organism. 

Etika pakaian sebagai penjawat awam di Kementerian Kesihatan Malaysia perlu dinilai semula. 

Pemakaian baju kemeja, tali leher, baju kurung, uniform, kasut kulit dan pakaian-pakaian lain yang dicadangkan adalah tidak sesuai bagi petugas kesihatan khususnya yang bekerja di zon kritikal seperti di Jabatan Kecemasan dan Trauma, di ICU dan di wad-wad. 

Pakaian yang berjurai dan tidak sesuai ini boleh bersentuhan dengan pesakit dan menjadi punca merebaknya kuman dengan mudah kepada orang lain termasuk pesakit-pesakit lain. Ini jelas dapat dilihat kini apabila kita menyaksikan bagaimana Covid merebak. 

Sudah tiba masanya KKM mewajibkan staf kesihatan memakai scrub ketika bekerja. Ia ringkas, tidak berjurai dan mudah dijaga. Ia amat memudahkan pergerakan staf kesihatan bagi membolehkan mereka lebih efektif ketika bertugas. 

Penggunaan white coat juga perlu dihentikan kerana ia tidak sesuai dan terbukti melalui banyak kajian bahawa ia merupakan sumber pelbagai jenis kuman bersarang. 

Kasut kulit perlu digantikan dengan kasut snickers yang lebih sesuai dengan pergerakan staf kesihatan yang memerlukan banyak pergerakan dan kelincahan ketika bekerja. Baru-baru ini Nike ada memperkenalkan produk baru kasut sukan khas untuk petugas kesihatan yang tahan lasak dan lembut. 
Namun hasrat memakainya terpaksa dilupakan kerana kami termaktub kepada etika pemakaian penjawat awam. 

Sudah tiba masanya kita berani untuk keluar dari amalan-amalan tradisional yang sebenarnya tidak membawa manfaat malah boleh membawa mudarat. 

Saya berharap cadangan saya ini dipertimbangkan oleh kerajaan. 

#StopTheVirusSpread 

-DARK-

1 comment:

  1. Numpang promo ya Admin^^
    ajoqq^^com
    mau dapat penghasil4n dengan cara lebih mudah....
    mari segera bergabung dengan kami.....
    di ajopk.club....^_~
    segera di add Whatshapp : +855969190856

    ReplyDelete