Tuesday 19 April 2016

DAP Singkir Sekutu Politik Jika Berkuasa - PKR Bakal Mangsa Pertama?






Sikap tamak kuasa Democratic Action Party (DAP) semakin terserlah dalam Pilihanraya Negeri Sarawak apabila bertanding di 29 kerusi daripada 82 kerusi yang dipertandingkan. Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang menggesa agar rakyat Sarawak mengundi DAP sebagai wakil pembangkang hanya bermain mitos untuk menjadi 'check and balance' kepada kerajaan Barisan Nasional.

Kit Siang yang menyatakan keperluan sekutu dalam Pakatan Harapan untuk bertanding satu lawan satu di setiap kerusi dan mengelakkan pertembungan di kalangan mereka hanyalah helah DAP untuk menyingkirkan pesaing mereka dalam Pakatan jika mereka berkuasa kelak? 

Menjadi hasrat DAP untuk menjadi kuasa terbesar dalam DUN Sarawak sekaligus menawan Sarawak dan membentuk kerajaan terbaru DAP selepas Pulau Pinang. Apa sebenarnya yang DAP mahukan di Sarawak? 

Jika mereka mendakwa mahu membawa kemajuan ke Bumi Kenyalang mereka perlu menafikan segala pembangunan yang telah dibawakan BN kepada rakyat Sarawak. Dengan segala pembangunan yang dilaksanakan, BN membuktikan mereka lebih memahami sosio budaya politik Sarawak dan menyediakan semua kemudahan buat peribumi Sarawak. Walau menguasai 15 kerusi DUN Sarawak pada 2011, DAP tidak berjaya membawa sebarang perubahan kepada kawasan yang mereka wakili melainkan hanya bermain sentimen untuk memburukkan Ketua Menteri sejak dari zaman Taib Mahmud hingga Adenan Satem.

Kit Siang yang mendakwa kejayaan Pakatan Harapan untuk menghalang kemenangan mutlak BN pada PRN Sarawak adalah untuk menghalang rakyat Sarawak dari di tindas kerajaan sebenarnya menjatuhkan reputasi DAP sendiri. Kemelut perebutan kerusi di kalangan parti yang bersekutu di bawah Pakatan Harapan telah memberi isyarat awal kerapuhan kerjasama antara pembangkang.

Kit Siang juga telah mengaku 'kalah' sebelum kempen bermula apabila mengakui imej Adenan terlalu kuat untuk dilunturkan pengaruhnya. DAP yang ketandusan isu konkrit untuk dibawa kepada pengundi Kenyalang hanya berharap kepada kempen fitnah memburukkan imej Perdana Menteri Dato Sri Hj Mohd Najib Tun Abdul Razak. Kejayan Adenan membawa transformasi kepada Sarawak juga merupakan kegagalan DAP serta Pakatan Harapan dalam usaha mereka merampas Sarawak.

Ternyata DAP yang bergantung harapan kepada Parti Amanah Negara (PAN) sebagai 'keldai' untuk memecah undi kaum Melayu Sarawak sukar membuat keputusan apabila menerima tekanan hebat dari Parti Keadilan Rakyat(PKR) yang turut mahu menunjukkan taring mereka di Sarawak. Tanpa pengetahuan DAP, PKR ternyata turut memasang hasrat untuk muncul sebagai kuasa dominan di DUN Sarawak dan menafikan penyertaan PAN yang disifatkan sebagai 'langau'.

PKR enggan mengalah kerana berpendapat mereka juga berhak ke atas rakyat Sarawak berdasarkan kepelbagaian latar belakang bangsa dalam parti dan ini tidak terdapat dalam DAP yang hanya mementingkan satu kaum. PKR menggunakan peluang terbaik ini bagi membina imej mereka sebagai pilihan rakyat Sarawak dan menafikan kemampuan DAP untuk memerintah tanpa sokongan rakan sekutu Pakatan.

'Keldai' DAP, PAN yang bertanding buat pertama kali sebagai sekutu Pakatan Harapan berhasrat memalukan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam PRN kali ini. Sudah pasti Presiden PAN, Mat Sabu mahu menundukkan imej Hj Hadi selaku Presiden PAS dan membuktikan beliau lebih berpengaruh daripada Hadi dan golongan ulama' PAS. Matlamat Mat Sabu yang bertanding kerana mahu menguji sejauh mana kemampuan PAN mempengaruhi rakyat Sarawak di dorong sikap ego dan bukan fokus kepada kebajikan rakyat dan pembangunan Sarawak.

Lim Kit Siang turut membayangkan kegagalan Pakatan Harapan di Sarawak kerana perbezaan pendapat dalam kerjasama pembangkang menafikan majoriti 2/3 BN di Bumi Kenyalang. Ucapan Kit Siang di Sarikei pada 18 April 2016 jelas memberi isyarat kepada Sarawak, Pakatan Harapan bukanlah matlamat sebenar DAP. Matlamat tersirat DAP adalah menguasai DUN Sarawak secara total dan membolehkan mereka menguasai kerajaan negeri bersendirian dan PAN akan bertindak sebagai 'budak suruhan' kepada mereka.

Ternyata kelicikan DAP tidak dapat di kesan rakan lain dalam Pakatan Harapan dan ini akan menjadi kelebihan buat mereka merangka strategi menafikan hak PKR sebagai parti campuran jika memenangi PRN Sarawak kelak.

Walau DAP masih bergelut dengan isu skandal Setiausaha Agung mereka, ternyata hala tuju DAP masih dikekalkan dan rakan sekutu lain sekadar menjadi pelengkap modul dan bakal disingkirkan apabila DAP berkuasa kelak.

Rakyat Sarawak telah matang berpolitik dan pastinya mereka tahu siapa yang lebih memberi tumpuan kepada rakyat dan negeri berbanding yang hanya berkonsepkan retorika politik bermusim. Barisan Nasional berjaya menampilkan kerjasama terbaik di bawah Adenan Satem dan hampir pasti akan mengekalkan kedudukan BN di Sarawak dengan lebih cemerlang.

Barisan Nasional masih merupakan pilihan rakyat Sarawak untuk terus membawa kemajuan dan kemakmuran kepada seluruh peribumi Bumi Kenyalang. 

No comments:

Post a Comment