Wednesday, 8 April 2020
PENGERUSI FELDA SEDIAKAN BANTUAN APA UNTUK PENEROKA FELDA SEPANJANG PKP?
Malaysia merupakan antara pengeluar hasil sawit terbesar dunia dan sebahagian dari keluaran tersebut datang dari Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) atau lebih dikenali sebagai FELDA. Mengalami pasaran dunia yang tidak menentu menyaksikan harga sawit pernah jatuh ke paras rendah hingga menjejaskan pendapatan peneroka Felda yang bergantung harap pada hasil ladang. Tempoh sepanjang hampir 20 bulan sejak Mei 2018 hingga akhir 2019 adalah masa yang amat memeritkan buat para peneroka Felda sekaligus menjejaskan ekonomi mereka walau Menteri Ekonomi ketika itu (Azmin Ali) melantik Pengerusi Felda yang baru.
Menjelang 2020 semacam ada sinar baru huat peneroka Felda namun Covid-19 pula menyerang bukan sahaja di Malaysia malah ke seluruh dunia. Pandemik Covid-19 menyebabkan ekonomi dunia terjejas teruk dan banyak pasaran komoditi terkesan. Malaysia juga mengalami perkara tersebut dan antara yang kena tempias adalah peneroka Felda. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membataskan segala pergerakan samada pengeluaran hasil atau apa sahaja berkaitan ladang dan pastinya pendapatan peneroka turut merudum bila pengeluaran hasil buah sawit tidak dapat diuruskan dengan baik. Felda pula menerusi satu kenyataan telah menutup operasi di Ibu Pejabat dan memhuat pengumuman penangguhan bayaran kepada peneroka namun tindakan kerajaan telah membuat ramai peneroka menarik nafas lega apabila arahan dikeluarkan kepada Felda agar meneruskan pembayaran pendahuluan dan hasil kepada peneroka Felda.
Apa yang dikesalkan sejak bermula PKP pada 18 Mac 2020, pihak pengurusan Felda langsung tidak memberi bantuan kepada peneroka Felda. Peneroka Felda hanya bergantung kepada bantuan yang diumumkan kerajaan sebagai 'penyambung hidup' kala hasil ladang semakin berkurangan. Ketika tinjauan dibuat melalui media sosial, ramai anak peneroka mengeluh Ibu Bapa mereka di rancangan masing-masing seolah tidak dipedulikan pihak pengurusan tertinggi Felda. Bukan peneroka sahaja terkesan malah staf turut terkesan bila langsung tiada bantuan khusus dari Felda diterima mereka. Apa fungsi Pengerusi Felda sebagai kepercayaan untuk menjaga Felda? Adakah hanya memeras hasil Felda untuk keuntungan? Mana khidmat 'CSR' Felda untuk peneroka ketika Pengerusi Felda dan mereka yang berjawatan tinggi menikmati GAJI yang lumayan hasil dari Felda? Apakah langsung Pengerusi Felda tiada alternatif yang boleh difikirkan bagi membantu kebajikan Peneroka Felda ketika masih dalam tempoh PKP? Felda sendiri mempunyai banyak rantaian perniagaan dan sudah pasti ada Anak Syarikat atau subsidiari Felda mampu menyumbang bantuan buat peneroka Felda sendiri. Apakah Peneroka Felda hanya Rakyat Kelas 2 di mata Pengerusi Felda?
Semalam sekeping foto seorang artis menerima bantuan sebagai wakil penduduk setempat menerima pelbagai komen. Tertera pada kotak tersebut logo FGV. Persoalan yang timbul mengapa bantuan tersebut tidak diberikan kepada Peneroka Felda sebaliknya orang berkepentingan politik lebih diutamakan bagi mengagihkan bantuan tersebut. Apakah ada sesuatu dalam kelambu Felda hingga menyebabkan tiada bantuan khusus buat warga Felda sendiri?
Apakah ada krisis dan Warga Felda menjadi mangsa sikap ego mereka yang berjawatan dalam Felda? Bayangkan jika PKP ditambah tempoh dan bantuan dari Felda masih tidak disalurkan kepada Peneroka Felda. Sebagai Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Bakke Salleh perlu mengambil langkah pro aktif membantu Peneroka Felda dan bukan melepaskan tangan dan tanggungjawab kepada kerajaan sahaja. Siapa pula akan dipersalahkan kerana berlaku kebobrokan hingga mengundang rasa tidak puashati kalangan warga Felda terhadap pengurusan tertinggi Felda? Adakah Pengerusi Felda atau Pengarah Besar Felda? Moga ada sinar buat Warga Felda sepanjang PKP berlangsung.
Tuesday, 7 April 2020
WUJUD BIROKRASI BANTUAN KEPADA PENEROKA FELDA? BAIK PENGARAH BESAR FELDA LETAK JAWATAN JIKA 'KOTAK FGV' HANYA DINIKMATI GOLONGAN ELIT
Tular sekeping foto seorang artis menerima 'kotak bantuan' yang tertera logo FGV di kediamannya. Jika sekali pandang kediaman artis tersebut bukanlah berada dalam mana mana kawasan penempatan Felda dan kelihatan seperti kediaman 'Elit'. Sukar untuk dipercayai mereka yang tinggal di kediaman seperti 'Beverly Hills' memerlukan bantuan 'seadanya' yang sering diagihkan kepada rakyat marhein.
Baca juga - KELUHAN SUARA PENEROKA DAN GENERASI KEDUA FELDA
Persoalan bermain mengapa FGV memilih untuk menyalurkan bantuan kepada pihak yang langsung tiada kena mengena dengan FELDA? Adakah Peneroka Felda dan Generasi Kedua Felda tidak layak menerima bantuan FGV atau ada kisah sebaliknya? Kemana Pengarah Besar Felda yang dilantik oleh Azmin Ali ketika beliau memegang portfolio selaku Menteri Ekonomi? Dikatakan Pengarah Besar Felda (DG) bukan dari kalangan yang ada pengalaman dengan Felda dan bukan dari kalangan Anak Felda sendiri jadi tidak menghairankan jika beliau (DG) tidak sensitif dengan isu melibatkan Peneroka Felda.
Benar Kerajaan melalui pengumuman telah membantu Peneroka dan Generasi Kedua Felda. Bukan tidak mensyukuri apa yang kerajaan bantu namun selepas PKP bersambung apa lagi yang mampu Peneroka Felda lakukan? Dengan ekonomi dunia yang merudum akibat Covid-19, sudah pasti harga komoditi sawit turut terjejas sekaligus memberi impak besar terhadap pendapatan peneroka. Itu belum lagi peneroka yang bakal berdepan proses tanam semula dan ketika itu mereka sudah pasti tiada pendapatan dari ladang dan bergantung pada pendahuluan pinjaman dari Felda.
Sebelum ini sebuah NGO telah menyampaikan keluhan peneroka dan keluhan tersebut mendapat perhatian Kerajaan. Namun demikian apabila foto seperti di atas tersebar di media sosial timbul persoalan. Mengapa Peneroka Felda sendiri tidak mendapat bantuan demikian dari sebuah entiti bernama Felda Global Ventures? Adakah mereka (Peneroka) tidak layak menerima bantuan demikian atau berlaku karenah birokrasi oleh individu berjawatan tinggi dalam pengurusan Felda yang tidak menitiberatkan kebajikan peneroka Felda? Sebaiknya individu tersebut meletakkan jawatan jika tidak memahami sensitiviti Peneroka Felda dan barisan individu yang beliau bawa bersama lantikan Azmin Ali keluar dari Felda. Rugi bayar gaji berbelas ribu tetapi apa pun tidak buat untuk peneroka Felda ketika PKP ini. Apa tunggu lagi? Anda semua lantikan politik dan hanya 'Menghabiskan Beras Felda' dengan kedudukan anda
Sunday, 22 March 2020
APA SOLUSI PENGARAH BESAR FELDA UNTUK PENEROKA DAN GENERASI KEDUA FELDA KETIKA COVID-19 MELANDA?
Saat negara dilanda musibah pandemik Covid-19 dan rakyat perlu mematuhi arahan kerajaan lain pula cerita yang dihadapi Peneroka Felda. Melalui sepucuk surat oleh Jabatan Kewangan Felda memberi berita 'sedih' untuk warga Felda. Apakah nasib mereka yang bergantung pada hasil ladang yang diserahkan kepada Felda bagi menguruskannya?
Ikuti luahan NGO Kami Anak Felda (KAF)
-----------------------------------------
ISU PENANGGUHAN BAYARAN OLEH FELDA
KEBAJIKAN DAN KEUTAMAAN WARGA PENEROKA DAN GENERASI PERLU DIBERI PERHATIAN SERIUS.
Penangguhan bayaran oleh Felda terutamanya melibatkan sara hidup dan pendahuluan hasil serta lain-lain bayaran kepada peneroka seperti kenyataan terbaru FELDA sangat lah dikesali majoriti warga peneroka dan generasi baru. Alasan yg digunakan pengurusan FELDA adalah di sebabkan situasi negara dilanda wabak COVID19 sememangnya nampak tidak kena pada tempatnya, terutama di saat perintah larangan dan pergerakan terhad yg diumumkan kerajaan. Warga peneroka sangat memerlukan pendapatan terutama dalam persediaan membeli barang keperluan makanan bagi menghadapi perintah kerajaan yg bakal berakhir pada 31hb Mac, namun ramai berpendapat perintah ini bakal berlarutan hingga ke satu tarikh baru. Perlu di ingat, peneroka yg bergantung sepenuhnya kepada pendapatan dari FELDA tidak ada sumber pendapatan lain.
Oleh itu, dua perkara yg perlu segera di ambil berat dan diberi perhatian segera oleh FELDA dan kerajaan khusus buat warga FELDA di saat ini adalah.
1.Memikirkan satu kaedah segera, agar bayaran2 yg melibatkan kepentingan dan keperluan mendesak peneroka seperti bayaran sara hidup atau pendahuluan hasil perlu di bayar segera mengikut jadual dan tidak boleh di TANGGUHKAN. Manakala lain2 bayaran boleh di pertimbangan oleh pihak FELDA.
2.Pertimbangan untuk mengurangkan 50 peratus daripada bayaran semula perumahan bagi peserta PGBF di seluruh negara. Memikirkan majoriti dari generasi baru di penempatan PGBF juga terlibat dgn larangan pergerakan terhad kerajaan, sewajarnya pihak pengurusan FELDA memberi pertimbangan potongan bagi bayaran tersebut. Atas dasar Memikirkan kewangan FELDA juga, permohonan pemotongan separuh bayaran terlehlbih dulu dipohon, dan jika larangan Pergerakan ini berterusan dan berpanjangan, Kami memohon supaya FELDA dapat mempertimbangkan untuk memberi penangguhan bayaran buat peserta PGBF seluruh negara bagi satu tempoh yg munasabah melalui perbincangan secara bersama.
Pandangan dan cadangan ini telah kami panjangkan kepada pihak Jawatankuasa Perunding Peneroka Kebangsaan JKPP dan Pengurusan FELDA. Semoga satu keputusan tepat dan menguntungkan warga peneroka dan generasi FELDA dapat segera dimuktamadkan. Sekian terima kasih.
KETUA PENERANGAN
KAMI ANAK FELDA KEBANGSAAN
#FELDADIHATIKU
#KAFDIHATIFELDADISANUBARI
-----------------------------------------
Adakah benar Pengarah Besar Felda langsung tidak berbincang dengan JKPP ketika membuat keputusan penangguhan bayaran? Apa pula alternatif yang disediakan Pengarah Besar Felda bagi memberi sedikit kelegaan buat Peneroka Felda? Sudahlah Menara Felda ditutup sepenuhnya berikutan Covid-19, kemana Peneroka Felda mahu merayu atau berharap?
Perlu diingatkan hasil Peneroka Felda adalah sebahagian daripada hasil negara dan mereka antara penyumbang ekonomi negara. Mengapa perlu ketepikan mereka saat mereka memerlukan dan hanya mencari ketika diperlukan? Harap agar Pengarah Besar Felda menjawap persoalan yang diutarakan demi kepentingan Peneroka dan Generasi Kedua Felda yang bermastautin di Felda.
Amat wajar bagi Menteri bertanggungjawab menjaga kepentingan Felda campur tangan dalam hal serius ini. Usah biar mereka (Warga Felda) seperti 'Anak Tiri' dan diperlakukan seperti tidak dihargai oleh kerajaan. Bukan untuk menuding jari tetapi perlu ada penjelasan bagi mengendurkan ketegangan mereka di saat negara dilanda musibah sebegini.
Monday, 8 July 2019
PENEROKA FELDA TAHU BERANAK MACAM KUCING, KERJA MALAS - IKON ANAK FELDA
Chef Selebriti yang baru dinobatkan sebagai Ikon Anak Felda dipercayai mengalami sindrom 'Kerasukan Syaitonirrojim' apabila membuat kenyataan menyindir Peneroka Felda.
Chef Wan Kena 'Rasuk'
Beliau yang diangkat sebagai Ikon Anak Felda tidak sepatutnya membuat kenyataan sedemikian. Benar beliau merupakan Anak Felda tetapi harus diingat kerana jasa Tun Razak membolehkan keluarganya kini mendapat penempatan yang selesa di Felda Sg Koyan 2. Kenyataan menyamakan Peneroka Felda sebagai 'Kucing yang hanya tahu beranak' ini amat melampau kerana tidak semua peneroka bersikap pemalas seperti yang didakwanya.
“These ungrateful human beings are born to be rubbish and they will forever be rubbish.” - Chef Wan
Selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya, harga sawit merudum dengan begitu teruk kerana KEGAGALAN DIPLOMASI ANTARABANGSA pentadbiran Tun Mahathir dan pengimport hasil sawit Malaysia iaitu China. Sepatutnya Chef Wan sedar kini peneroka mendapat hasil yang tidak berpatutan kerana KEGAGALAN Pakatan Harapan mempromosi komoditi sawit ke pasaran luar hingga ada Menteri yang menyarankan rakyat supaya meminum sesudu sawit setiap hari.
Mungkin Chef Wan lupa JANJI Pakatan Harapan dalam Manifesto Pru14 yang banyak mengaburi mata peneroka ketika itu. Apakah selama ini Chef Wan menutup mata dengan janji lunak yang dibentangkan?
Apapun kita serahkan kepada Peneroka Felda untuk menilaikan pemikiran Chef Wan atas kenyataan beliau.
Thursday, 4 April 2019
PENEROKA FELDA KIAN TERPINGGIR, AZMIN 'MIMPI' GANTI SIAPA?
Tempoh setahun selepas pengambil-alihan pentadbiran Putrajaya dari Barisan Nasional, Pakatan Harapan masih gagal membela nasib peneroka Felda. Bermula dengan kejatuhan harga sawit diikuti dengan penamatan pembelian sawit Malaysia segalanya adalah kegagalan total PH. Kini Menteri Ekonomi (Azmin Ali) yang sepatutnya bertanggungjawab hal ehwal Felda seakan tidak melaksanakan amanah yang diberikan sebaliknya hanya menyalahkan pentadbiran kerajaan dahulu. Mana Hala Tuju Azmin untuk menjadi seorang Menteri yang efisien dalam menguruskan Felda?
Dalam manifesto mereka kata setuju dengan perjanjian sedia ada antara Felda dan peneroka maknanya mereka setuju kadar bayaran pinjaman sekarang malah berjanji akan tambah kadarnya. Tetapi kini lain yang terjadi apabila pengurusan tertinggi ambil keputusan untuk kurangkan.
”Kita tidak mahu dengan pekeliling ini sudahlah pendapatan peneroka semakin berkurang, dengan bantuan sara hidup bulanan bayarannya sering tertunggak, beban peneroka semakin berat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. - Mazlan Aliman
Memburukkan keadaan, janji dalam manifesto PH untuk menghapuskan hutang peneroka tidak tercapai malah kini peneroka terus ditindas oleh pihak bertanggungjawab. Elaun Sara Hidup sebanyak RM1,500 telah dikurangkan ke RM1,000 tanpa mengambil kira kos semasa pasti akan menyukarkan kehidupan peneroka Felda. Tentu peneroka masih ingat Mazlan Aliman yang bersungguh berkempen mahu menumbangkan kerajaan ketika itu menjanjikan hutang peneroka akan dihapuskan sebaik Pakatan Harapan menang Pru14. Bagaimanapun bukan hutang dihapuskan tetapi peneroka kini berdepan dengan bebanan hutang yang bertambah dengan kedangkalan Menteri yang dilantik. Apa tindakan Azmin dan Timbalan Menteri Ekonomi bagi memulihkan kewangan sekaligus menstabilkan harga sawit dipasaran dunia? Dengan penamatan pembelian oleh China, sekali lagi jualan sawit Malaysia diambang kajian semula apabila Mahathir melawat Pakistan baru baru ini. India yang merupakan antara pengimport besar minyak sawit Malaysia berseteru dengan Pakistan dan krisis antara dua negara ini boleh mengakibatkan import eksport Malaysia India tergugat terutama sawit.
Baca rungutan Mazlan Aliman - Sara Hidup Peneroka
Azmin selaku Menteri Ekonomi seperti tiada strategi dan kemampuan menguruskan hal ehwal Felda jika keputusan berkaitan Felda tidak berada ditangan sebaliknya ditangan MoF, jadi apa istimewa Menteri Ekonomi? 'Bermimpi' untuk menjadi Perdana Menteri atau mahu memberi khidmat untuk Rakyat terutama peneroka Felda? Manakah kebajikan peneroka Felda yang dijanjikan? Mengapa hutang masih tidak dihapuskan oleh Pakatan Harapan? Usah tuding jari merata alam jika tidak pandai menguruskan kewangan Felda. Sudah lupakah formula formula yang sering dibentangkan sebelum jadi kerajaan? Gegak gempita mengatakan Pakatan Harapan punyai formula mengatasi segalanya dan minta diberikan peluang serta kepercayaan. Sudah diberikan tidak pula selesai masalah malah menambah 'Kesakitan' Peneroka Felda!
Kalau di Jepun, Menteri yang GAGAL akan mengambil tanggungjawab meletakkan jawatan dan meminta maaf kepada rakyat. Azmin selaku Menteri Ekonomi dan Radzi selaku Timbalan Menteri Ekonomi tidak mahu berbuat demikian?
Friday, 28 December 2018
PRK CAMERON HIGHLANDS - 'TOP DOG' DAP BAKAL 'BERLAKON' PRIHATIN NASIB PENEROKA FELDA DAN ORANG ASLI?
'Top Dog' DAP Mahu Tabur Janji Apa Pula Dalam Lawatan Ke Cameron Highlands?
Kehangatan Pilihanraya Kecil P078 Cameron Highlands semakin terasa apabila DAP telah mula melakukan kempen awal secara tidak rasmi. Bekas calon DAP pada PRU14 yang tiba tiba muncul semula di Cameron Highlands mengesahkan kempen tidak rasmi Pakatan Harapan.
Sekadar kembali untuk bermain 'Sinetron' sangat sinonim dengan gaya politik DAP dan ini sedang dilakukan oleh bekas calon DAP kepada pengundi Parlimen CH. Sudah pasti barisan 'Top Dog' DAP akan membuat siri ceramah dan bercerita kebaikan DAP dan Pakatan Harapan kepada rakyat serta sudah pasti isu Hutang Negara turut akan ditimbulkan untuk dimomokkan kepada pengundi CH. Bagaimanapun Beranikah Pakatan Harapan mendedahkan JUMLAH SEBENAR HUTANG NEGARA SEPERTI DIREKODKAN DALAM PARLIMEN? Beranikah DAP berbicara soal ICERD dihadapan audien Cameron Highlands?
Antara 'Top Dog' DAP yang dijangkakan akan turun padang dalam rangka lawatan bertemu Orang Asli dan penduduk Felda Sg Koyan ialah Lim Kit Siang. Tarikh dan masa tepat berkaitan 'Lawatan' Kit Siang tidak dapat dipastikan. Menyentuh bab Felda, sejak Felda Sg Koyan dibuka pada 1975 tidak ada dalam sejarah Felda tersebut menerima kunjungan DAP. Hampir 43 tahun DAP tidak pernah peduli hal Felda Sg Koyan yang terdiri daripada 60% bekas anggota keselamatan negara yang pernah bertempur dengan pengganas komunis di zaman darurat. Hanya kerana PRK CH, DAP mula berlakon seolah mereka sangat prihatin dengan peneroka Felda sedangkan Manifesto Pakatan Harapan untuk Felda LANGSUNG TIDAK DILAKSANAKAN MALAH KINI PENEROKA BERGELUT DENGAN KEJATUHAN HARGA SAWIT.
Bagi bekas anggota Tentera yang kini hidup sebagai Peneroka Felda sudah tentu kisah pertempuran mereka semasa darurat memberi kesan yang mendalam. DAP yang mengiktiraf KOMUNIS dan Mendesak Kerajaan membawa balik abu mayat Chin Peng sebagai tanda penghormatan telah membangkitkan kemarahan anggota keselamatan yang mempertaruhkan nyawa mereka ketika menentang Komunis yang di pimpim Chin Peng. BERANIKAH LIM KIT SIANG BERCAKAP MENGENAI PENGHORMATAN KEPADA CHIN PENG DI DEPAN BEKAS TENTERA DI FELDA SG KOYAN?
Sudah tentu 'Lawatan' Ahli Parlimen Veteran DAP ini akan membawa pelbagai 'JANJI' kepada pengundi. Apa pula akan dijanjikan kepada Orang Asli dan Peneroka Felda kali ini? Sebagai rujukan JHEOA dan JAKOA dipertanggungjawabkan bagi menjaga kebajikan Orang Asli dan Kerajaan Barisan Nasional TIDAK PERNAH meminggirkan mereka dari arus pembangunan setaraf yang lain malah untuk Anak Anak Orang Asli kelengkapan lengkap persekolahan mereka turut disediakan dari sebesar besar hinggalah sebatang pensel dibekalkan kepada mereka.
Penempatan selesa turut disediakan bagi menjamin kesihatan Orang Asli selain bantuan yang diberikan secara berkala. Jadi TIADA SEBAB untuk DAP memburukkan Barisan Nasional di kalangan Orang Asli.
Sebagai renungan apakah maksud Lawatan Lim Kit Siang bertemu Orang Asli serta peneroka Felda Sg Koyan jika bukan kempen pilihanraya kerana selama ini beliau dan DAP tidak pernah pedulikan mereka. Adakah DAP mahu mengajar sekutu lain dalam Pakatan Harapan terutama PPBM BAGAIMANA MAHU MEMANCING UNDI dan hanya DAP sahaja yang boleh bertanding di kerusi tersebut walau komposisi majoriti pengundi tidak menyebelahi DAP?
Wednesday, 26 December 2018
'BELI JIWA' PRK P078 CAMERON HIGHLANDS - PAKATAN HARAPAN AKAN UMUM 'DURIAN RUNTUH' KEPADA FELDA SG KOYAN SEBAGAI MANIFESTO?
Selepas Mazlan Aliman 'Hilang Suara', Apa Pula 'DURIAN RUNTUH' Pakatan Harapan Kepada Peneroka Felda di Cameron Highlands?
Dun Jelai yang terletak dalam Parlimen Cameron Highlands merupakan antara kubu orang Melayu yang sentiasa memberikan sokongan terhadap calon Barisan Nasional selepas dipisahkan dari Parlimen Lipis. Dengan jumlah pengundi seramai 3847 sudah tentu undi dari penempatan Felda sangat penting dalam pertandingan kali ini.
Gugusan Felda Sungai Koyan yang terdiri daripada 3 penempatan - Sungai Koyan 1, Sungai Koyan 2 dan Sungai Koyan 3 sangat unik kerana boleh dikatakan peneroka berasal dari seluruh negara bermastautin di Felda ini sejak 1975. Dengan pelbagai loghat pertuturan dan latar belakang, warna warni unik ini akan menjadi tumpuan kempen sepanjang 14 hari selepas penamaan calon pada 12 Januari 2019. Perubahan demi perubahan fizikal Felda Sungai Koyan serta kemajuan ekonomi tempatan semasa pemerintahan Barisan Nasional dinikmati oleh semua peneroka malah ADUN Jelai turut memberi tumpuan kepada Felda kerana ianya sebahagian denyut nadi ekonomi negara menerusi perladangan sawit.
Sejarah politik Sungai Koyan turut menjadi keunikan dengan penguasaan 2 parti di kalangan peneroka. Walau cuba di tebak oleh parti politik lain, kebiasaannya 'Hayat Politik' parti lain tidak panjang kerana politik bermusim dan hanya menonjol ketika menghampiri PRU. Berbeza dengan dua parti politik, berbeza ideologi namun dalam kerjasama pembangunan insaniah dan fizikal Felda Sg Koyan fahaman politik diketepikan sebaliknya perpaduan diutamakan. Malah anda boleh menyaksikan sendiri apabila duduk di kedai kopi melihat Umno dan Pas semeja bergurau senda tanpa sebarang prejudis. Tidak tergamak melihat perpaduan ini berpecah hanya kerana berbeza pandangan politik. Namun senario hari ini berbeza sejak Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya. Isu panas seperti ICERD telah membuka mata Peneroka Felda terhadap kehadiran parti politik lain yang cuba mengembangkan sayapnya ke Felda. Sikap menunduk parti tersebut kepada 'Tauke Besar' dalam Pakatan ternyata memberi kesedaran kepada Peneroka bahawa slogan parti itu selama ini hanyalah retorik dan sekadar mengaburi mata Rakyat.
Menyentuh soal Peneroka Felda sudah tentu tidak dapat lari dari kenyataan berbaur hasutan oleh Mazlan Aliman sewaktu siri jelajah beliau ke segala ceruk Felda. Menjanjikan PELUPUSAN HUTANG PENEROKA antara dendangan utama yang direncanakan oleh Pakatan Harapan selain Manifesto yang sehingga hari ini tidak ditunaikan lagi. Bagaimanapun selepas Mazlan Aliman mendapat KERUSI EMPUK, kisah peneroka Felda serta penghapusan hutang peneroka tidak lagi kedengaran, malah Peneroka Felda dimomokkan dengan kisah peningkatan hasil sawit sebanyak 12 - 15 tan sehektar oleh Menteri di Parlimen. Malah sebelum PRU14, DAP telah menubuhkan sebuah entiti berkaitan Felda kononnya mahu membantu menyelesaikan masalah peneroka Felda tetapi selepas mereka berjaya menempatkan kerusi majoriti dalam Parlimen, kisah membantu peneroka hilang di bawa angin. Felda yang sebelum ini menjadi 'Taboo' kepada DAP telah berjaya dibolosi oleh Lim Kit Siang menerusi entiti yang diwujudkan DAP menggunakan Anak Muda.
Menghadapi PRK Cameron Highlands, ternyata DAP menggunakan PPBM bagi melebarkan pengaruh Pakatan Harapan termasuklah di Felda Sg Koyan. Jumlah undi yang agak besar dalam Felda juga menjadi tarikan kepada mereka merampas kerusi CH dari BN. Justeru itu pelbagai perancangan pasti diaturkan bagi mencari pengaruh dikalangan peneroka Felda Sg Koyan.
Sudah tentu akan ada Manifesto Khas bagi masyarakat Felda akan dijanjikan oleh PH namun Peneroka Felda bukanlah golongan yang boleh diperbodohkan PH. KEGAGALAN MANIFESTO PH akan menjadi panduan kepada Peneroka Felda di samping kesukaran yang dihadapi Peneroka selepas PH memerintah merupakan kayu pengukur undian Felda kali ini. Kejatuhan harga komoditi serta kelemahan pentadbiran PH dalam menangani isu harga sawit selain kebajikan peneroka yang semakin terhakis akan menjadi faktor Felda MENOLAK Pakatan Harapan dalam Pilihanraya Kecil Cameron Highlands. Peneroka Felda kini sudah merungut kerana keistimewaan dan kebajikan semasa zaman BN sudah tidak lagi dikecapi malah Menteri (DAP) telah melukakan hati peneroka Felda dengan kenyataan BODOH di Parlimen.
Apakah DAP akan tampil dengan Manifesto Khas bagi menarik undi Felda? Apa pula JANJI Pakatan Harapan kepada Peneroka Sg Koyan kali ini? Mungkinkah akan ada 'Durian Runtuh' untuk Peneroka Felda semasa kempen PRK CH kelak? Tidak mustahil Pakatan Harapan akan melakukan apa sahaja bagi 'MEMBELI JIWA' Peneroka Felda Sg Koyan untuk menunjukkan sikap Prihatin Kerajaan namun perlu diingatkan kepada Peneroka - MANIFESTO PRU14 adalah KEGAGALAN PH dan jangan tertipu dengan segala penawaran kerana PH terkenal dengan 'U-TURN'. Hari ini lain, esok belum tentu sama JANJI Pakatan Harapan.
Thursday, 20 December 2018
MENTERI 'RINGEK' MAIN WAYANG UNTUK PRK CAMERON HIGHLANDS?
Peneroka Felda Semakin Sengsara Di Bawah Pakatan Harapan
Pilihanraya Kecil P078 Cameron Highlands pada 26 Januari 2019 menjadi medan pertama Menteri Kewangan memancing undi. Menyedari Parlimen Cameron Highlands merangkumi kawasan Felda di Dun Jelai, tindakan Menteri 'Ringek' cuba untuk mengaburi sejumlah 3847 pengundi di gugusan Felda Sg Koyan dengan peruntukan segera wang hasil dan wang sara hidup kepada seluruh Felda.
Bekas calon DAP, Manogaran yang menaikmuat satu status di media sosial nampaknya mahu menampakkan Pakatan Harapan prihatin kepada peneroka Felda selepas 7 bulan mengambil alih pentadbiran Putrajaya. Bagaimanapun jumlah yang diperuntukkan kepada seluruh peneroka Felda dikatakan tidak mencukupi kerana ada peneroka yang sehingga hari ini tidak mendapat wang hasil jualan sawit dan wang sara hidup mereka.
Diburukkan lagi dengan kejatuhan harga sawit di pasaran serta keengganan China sebagai pengeksport terbesar industri minyak sawit Malaysia, jumlah yang diberikan oleh Guan Eng sebenarnya jauh dari apa yang sepatutnya. Peneroka Felda serta pengusaha sawit kini menanggung kesukaran kerana sikap pemimpin Pakatan Harapan yang mahu menunjukkan kononnya mereka 'Harimau' terhadap kuasa ekonomi dunia sedangkan hakikat sebenar mereka hanyalah 'Kucing Kampung'.
Manogaran perlu ingat Felda bukan sekadar 1 atau 2 rancangan di seluruh negara jadi bagaimana peruntukan sebanyak RM77 juta mahu diagihkan kepada peneroka yang terjejas ekonomi sejak Pakatan memerintah sedangkan harga telur di pasaran pun Menteri PH tidak mampu turunkan dengan memberi pelbagai alasan yang menjadi bahan lelucon netizen.
DAP juga kini seakan tidak lagi mempedulikan nasib Peneroka Felda selepas mereka berjaya menembusi kawasan 'Taboo' dengan merekrut anak muda berbangsa Melayu bagi menyampaikan dakyah songsang politik mereka. Sejak PRU14 tiada lagi kedengaran suara sebuah badan yang ditubuhkan oleh DAP berkaitan Felda sebelum ini.
Tinjauan yang dilakukan didalam kawasan Felda Sg Koyan menampakkan reaksi penolakan pengundi terhadap Pakatan Harapan selepas kegagalan PH menepati janji yang di buat oleh barisan penceramah PH sebelum PRU14. Mereka kini bertekad akan menumbangkan PH dalam PRK Cameron Highlands.

















