Tuesday, 6 September 2016

PKR Bakal Terima 'KETUM' Baru Ganti Anwar?

Krisis dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang menuju klimaks pergeseran  apabila Tun Mahathir hadir memberi sokongan kepada Ketua Umum PKR (KETUM) di mahkamah semalam. Umum mengetahui Presiden PKR, Wan Azizah serta ahli keluarga Anwar Ibrahim masih terkesan dengan kisah pemecatan dan perlucutan jawatannya pada 1998. Trauma dengan segala cacian masyarakat terhadap kenyataan Mahathir yang menyatakan Anwar tidak layak menggantikan tempat beliau sebagai PM kerana mengamalkan tabiat seks luar tabi'e, Azizah masih tidak memaafkan perbuatan itu walau Mahathir bersama Pakatan Harapan membentuk gerakan kerjasama menumbangkan Perdana Menteri Dato Sri Hj Mohd Najib Tun Abdul Razak melalui gerakan Deklarasi Rakyat.

Walau bagaimanapun, Azmin Ali selaku 'orang kuat' PKR cuba mendamaikan perseteruan selama hampir 18tahun antara Mahathir-Azizah. Cubaan ini dilihat sebagai jalan Azmin 'mengambil hati' Azizah bagi mengekalkan kedudukannya selaku Menteri Besar Selangor hingga tarikh PRU14 dan menjamin pengaruhnya dalam PKR tidak terhakis dengan kewujudan pelbagai skandal melibatkan kewangan Selangor.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang masih 'bingung' dengan tandatangannya dalam pemecatan ahli seumur hidup PKR Chegu Bard pula dikatakan mempunyai 'masalah' dengan Azmin yang di lihat berpotensi untuk menentang Azizah. Beliau yang merupakan 'orang kepercayaan' Anwar tidak dapat menerima isu skandal Selangor di mana Azmin dikatakan telah menghabiskan wang rakyat bagi projek 'gila' dan tidak mendatangkan keuntungan kepada PKR. Tambahan lagi dengan 'surat amaran' Anwar terhadap kepimpinan PKR mengenai kelicikan Mahathir menjadi antara penyebab Rafizi tidak senang dengan Azmin yang dikatakan 'terlalu' baik dengan Mahathir.

Skandal Selangor melibatkan jutaan ringgit wang rakyat Selangor yang masih belum di jawap MB turut mempengaruhi krisis dalaman PKR apabila tindakan memecat Bard dikatakan untuk menutup 'bangkai' dari hasil buruan Azmin. Rafizi memandang serius perkara ini kerana berlaku konflik apabila tandatangannya dimanipulasi oleh 'tangan ghaib' dalam kes pemecatan Bard. Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, seperti tidak berkuasa dalam PKR dan segalanya hanya ditentukan Azmin seorang. Pasti timbul rasa iri hati dari kalangan pemimpin tertinggi PKR apabila Azmin cuba menjadi 'Diktator' dan mengurangkan kebergantungan parti itu kepada Anwar yang masih menjalani hukuman penjara 5 tahun kerana kesalahan meliwat bekas pembantunya.

Berbalik kepada pertemuan Anwar-Mahathir di Mahkamah, ramai reformis menyatakan kemarahan mereka terhadap usaha Azmin menjumpakan orang yang memenjarakan Anwar selepas pemecatannya. Segala usaha reformis yang bersungguh sungguh pertahankan Anwar hingga mereka turut meringkuk dalam penjara menjadi sia sia apabila Mahathir mengenggam erat jabat salam Anwar dalam usaha terdesak Penasihat Parti Pribumi Bersatu ( BERSATU) mencari pengaruh dari PKR.

Ternyata Mahathir memerlukan pengaruh Anwar berbanding Muhyiddin Yassin dan ini tidak disenangi ahli PKR sendiri. Bagi mereka 'Dalang' pertemuan itu perlu di hukum kerana merosakkan matlamat  sebenar PKR yang memperjuangkan Anwar dan mahu mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri. Maka bagi mereka, Azmin merupakan individu yang bertanggungjawab dalam pertemuan semalam dan kebetulan PKR Selangor mempunyai masalah dalaman. Ini merupakan antara faktor yang akan menjadikan kerusi MB Selangor kembali jadi rebutan dan Azizah selaku Presiden PKR berhak menentukan siapa yang akan menjawat jawatan tersebut seandainya Azmin diturunkan berikutan isu skandal wang rakyat dan isu 'dalang' pertemuan Anwar-Mahathir.

Bagi mereka Azizah perlu bertegas kerana ini melibatkan maruah keluarga dan parti mereka. Beranikah Azizah mengambil tindakan drastik terhadap Azmin atau sekadar menjadi 'Kuda Kayu' PKR?