Sunday 24 March 2019

PRK RANTAU - ANWAR PERSIAP DIRI AMBIL ALIH KERUSI MO1 PAKATAN HARAPAN DAN SINGKIR MAHATHIR SELEPAS PILIHANRAYA RANTAU?

Anwar Salahkan Mahathir Bila Izzah Enggan Teruskan Legasi Di Permatang Pauh?



Dalam kesibukan menghadapi Prk Rantau, Ahli Parlimen Permatang Pauh dari PKR menarik publisiti bila mengumumkan tidak akan bertanding pada PRU15 kelak. Papa (panggilan Nurul Izzah kepada Anwar) sudah pasti terpukul dengan kenyataan bekas Naib Presiden PKR yang berdiam diri sekian lama. Hasrat Anwar untuk berkhemah di Rantau juga kelihatan seperti tidak akan berlaku kerana sudah pasti 'Papa' perlu memujuk anaknya menyertai dan membantu menguatkan kempen bagi memastikan maruah PKR tidak tercalar seperti yang terjadi pada DAP dan PPBM pada 2 prk baru baru ini.

Anwar tampil menjelaskan sebab kekecewaan Izzah. Sebagai ahli politik yang pernah menyandang gelaran 'Puteri Reformasi', tindakan beliau mudah diterjemahkan. Walau pernah menyatakan apa yang terjadi kepada 'Papa' pada 1998 adalah luka kecil, amat mustahil baginya melupakan parut yang tertinggal. Sebalik senyuman bila berdepan dengan individu yang pernah membuat dakwaan perlakuan songsang serta menjatuhkan Anwar dari kedudukan kedua tertinggi dalam politik tanahair siapa tahu apa yang tersirat? Pemecatan Anwar dari politik negara tercatat sebagai 'Sejarah Hitam' buat seluruh keluarga dan amat mustahil bagi seorang anak melupakan saat bapanya diheret keluar dari kediaman ketika itu. 

Walau bergandingan dalam Pakatan Harapan, kerjasama yang berlaku bukanlah seindah mimpi ketika mahu baligh. Kesepakatan mengangkat Tun M sebagai Perdana Menteri walau parti yang diwakilinya ada 13 kerusi dari jumlah keseluruhan yang dimenangi PH pada Pru14 hanyalah sandiwara terancang dan hakikat inilah yang perlu dihadam penyokong PKR. Selepas berkorban membenarkan Bendera PKR digunakan, Presiden PKR semasa itu hanya diletakkan sebagai orang nombor 2 sedangkan mengikut kiraan 'Sempoa', Malaysia boleh mencatat sejarah mendapat Perdana Menteri Wanita pertama namun disebabkan 'Papa' masih dibelakang 'tirai besi' hasrat tersebut dipendamkan bagi memberi laluan kepada Penasihat (bukan Presiden) PPBM. Bayangkan 'Puteri Reformasi' hanya mampu melihat sahaja individu yang memecat 'Papa' tersenyum di kerusi Perdana Menteri dan beliau (Izzah) tidak mampu berbuat apapun.

Memburukkan lagi keadaan dalam menguatkan kedudukan dalam PH, PPBM telah menerima pula ahli parlimen dan sesiapa sahaja yang berpaling tadah dari Umno. Selama hampir 20 tahun Izzah berdiri menentang Umno dan baru mengecapi hasil dengan 'menggunakan' elemen Melayu dan meyakinkan pengundi Cina dan India dalam PKR, secara tiba tiba Mahathir membuat onar dengan mengambil bekas Umno masuk ke kem PH secara 'Borong' tanpa mengambil kira 'Hati' sekutu dalam PH. 

Kini 'Permainan' semakin menarik apabila retak dalam Pakatan Harapan yang cuba disorokkan selama ini semakin terbelah. Anwar sudah pasti akan menuntut janji diberikan giliran menjadi PM selepas 2 tahun namun kini sudah  mulai kedengaran suara sumbang yang tidak mahukan Anwar menggantikan Mahathir berdasarkan apa yang telah beliau (Tun M) bongkarkan pada 1998. Malah kedengaran juga ada konspirasi dalam PH sendiri yang mahu menyingkirkan PPBM setelah Mahathir dilihat semakin mencengkam segala keputusan yang sepatutnya mendapat persetujuan semua pihak dalam PH. Sejauh mana konspirasi tersebut berjalan tidak pula diketahui statusnya.

Prk Rantau yang dijadikan medan pertarungan 'Maruah' Presiden PKR tentu akan memberi impak negatif jika mereka (PKR) kalah di tangan BN buat kali ketiga berturut selepas kekalahan Dap dan PPBM. Anwar tentunya mahu dilihat sebagai individu paling layak mengambil alih jawatan PM sekiranya Pkr menang namun natijah akan menanti jika kalah. Secara automatik Anwar akan dilabelkan sebagai tidak layak menjadi PM dan kekal bergelar 'Bakal PM' kalau calon mereka kalah pada 13 April 2019. Jadi apakah solusi terancang Anwar bagi memperlihatkan beliau masih mempunyai aura politik seperti 20 tahun lampau? 

Untuk menuding secara terus kerakusan Mahathir menerima ahli parlimen yang melakukan 'Lompat Katak' adalah mustahil kerana mampu menjejaskan peluangnya menggantikan Tun. Adakah tindakan Izzah mengeluarkan kenyataan berbaur kecewa dengan tindak tanduk Mahathir dipergunakan Anwar bagi menyerang PM bagi menjatuhkan imej Mahathir? Tidak mustahil apa sahaja boleh berlaku dalam politik kalau tidak masakan Anwar boleh berlakon mengenakan pendakap leher dan berkerusi roda ke Mahkamah bagi meraih simpati rakyat. Politik 'Kewayangan' yang dilakonkan serta naratif perjalanan cerita politik Anwar sudah boleh dibaca. Untuk mencapai impian apa sahaja boleh dilakukan asalkan ia kelihatan 'Halal' kepada rakyat.

Pengundi Rantau perlu dikejutkan agar tidak lagi tertipu dengan adegan 'Sebabak' PH bagi mengalih perhatian pengundi dari manifesto PH yang GAGAL TOTAL sejak 10 bulan lepas. Teknik mengalih serta mengajak pemikiran rakyat terutama pengundi secara susun atur skrip kini tidak lagi relevan. Rakyat terutama pengundi PH berharapkan semua manifesto ditunaikan namun apa yang berlaku adalah sebaliknya dan natijahnya telah terbukti!

No comments:

Post a Comment