Monday, 9 January 2017

'HANG TUAH' GEMPARKAN PENUMPANG MRT DAN PENGUNJUNG ONE UTAMA - SOLIDARITI FAIZ SUBRI DARI ARMADA MALAIU MALAYSIA




"SEPERTI BARU KELUAR DARI MESIN MASA APABILA NAIK MRT DAN DI PANDANG ORANG RAMAI DENGAN BERBAJU MELAYU DAN BERTANJAK"

Dengan berbusana lengkap lagak Pahlawan Melayu zaman Kesultanan Melayu Purba, sekumpulan anak muda dari Armada Malaiu Malaysia (AMM) menggemparkan suasana di pusat beli belah One Utama di Damansara petang semalam. Mengejutkan penumpang MRT dari Stesen Semantan ke Stesen Bandar Utama, mereka berkumpul di pusat beli belah tersebut bagi menyatakan sokongan kepada Mohd Faiz Subri yang mewakili Malaysia untuk anugerah Puskas.

Salah seorang individu dari kumpulan tersebut dikenali sebagai Adel Shinoro telah menaikmuat entri foto dalam garismasa facebook beliau ketika berada dalam koc MRT dan ini menarik perhatian netizen yang turut berada dalam koc yang sama. 

Berbaju Melayu merah lengkap bertanjak, Adel ternyata berbuat demikian demi kecintaannya kepada busana Melayu yang semakin dilupakan dalam arus fesyen moden. Menurut beliau lagi matlamat utama AMM berbuat demikian adalah untuk memartabatkan busana Melayu di mata rakyat yang berbilang kaum di Malaysia serta mehu membuka mata anak muda fesyen baju Melayu merupakan tinggalan yang tidak lapuk dek hujan.

Adel turut berbangga apabila aksi spontan mereka di One Utama mendapat reaksi positif dari kaum bukan Melayu yang ternyata tertarik dengan kehalusan seni baju Melayu itu sendiri.

Seorang individu berbangsa Cina yang tertarik dengan busana tersebut turut melemparkan pertanyaan kepada beliau. Bertanyakan mengapa mereka berbuat demikian, Adel menerangkan objektif utama AMM sebagai tanda sokongan terhadap Faiz Subri dan ternyata individu Cina tersebut mengenali Faiz serta berharap kemenangan berpihak kepada pemain dari Malaysia.

Keunikan busana Melayu yang diketengahkan AMM ini sepatutnya membuka mata lebih ramai yang mengakui berbangga dengan baju Melayu tetapi 'malu' untuk memperagakan kepada umum persalinan lengkap serta mengikut tertib persalinan Melayu yang sebenar.

Mungkin dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) di masa depan akan diperlihatkan ketinggian martabat busana Melayu di sarung oleh pemimpin tertinggi Malaysia bagi menyokong apa yang dilakukan AMM serta matlamat Umno sendiri yang mahu menaikkan imej Melayu di mata rakyat.