Monday, 24 April 2017

PERLANTIKAN KETUA AGENSI KERAJAAN BUKAN DI TANGAN MENTERI

RASIS TIDAK WUJUD DALAM PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA

Dalam era teknologi maklumat serba pantas kini penularan sesuatu isu adakala menjadikan rakyat tertanya tanya etika penjawat awam yang diberikan amanah untuk menjaga rahsia sulit kerajaan. Kita sedia maklum dalam sebegitu ramai penjawat awam tidak semua mematuhi etika yang telah menandatangani akujanji apabila menerima tawaran berkhidmat dengan kerajaan di sektor awam.

Baru baru ini tular surat sulit yang dikatakan sebagai surat 'melobi' dari seorang menteri kepada Perdana Menteri bagi melantik Ketua Pengarah sebuah agensi kerajaan. Jika di teliti surat berkenaan bukanlah surat 'melobi' tetapi surat tersebut menyampaikan hasrat bagi PM mempertimbangkan jawatan Ketua Pengarah kepada seorang individu yang difikirkan layak untuk menduduki jawatan tersebut.

Walau bagaimanapun, terdapat kritikan dilemparkan kepada Kerajaan mengenai isu pertukaran dan perlantikan seseorang ke jabatan yang baharu. Dalam hal ini, sentimen perkauman, agama dan fahaman politik bukan menjadi asas kepada perlantikan seseorang. Sentimen itu bukan amalan dalam kerajaan Malaysia.  Amalan Kerajaan Malaysia ialah untuk memastikan perlantikan seseorang akan dapat meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan dan seterusnya negara dan rakyat akan menerima faedahnya.

Kerajaan boleh menerima cadangan daripada mana-mana pihak seperti Menteri tetapi akhirnya yang menilai dan memutuskan cadangan itu ialah YAB Perdana Menteri dan KSN selepas melihat dari semua sudut seperti sejarah perkhidmatan, latarbelakang perkhidmatan, pengalaman, tatatertib dan sebagainya. PM dan KSN sudah pasti akan memberikan keutamaan kepada rakyat dan negara dalam memutuskan sesuatu cadangan perlantikan seseorang. Oleh yang demikian rakyat diminta tidak terpengaruh dengan hasutan sesetengah pihak yang menuduh PM dan KSN tidak prihatin dalam hal ini.

Jadi tindakan mengeluarkan surat berkenaan untuk tatapan umum sangatlah tidak beretika dan seperti ada 'gerakan' tertentu menghalang perlantikan baru bagi agensi terbabit. Mengapa perlu di halang jika semua kriteria individu yang difikirkan sesuai itu melayakkan beliau menjawat jawatan tersebut? Adakah ada polemik 'politik' di sebalik bantahan yang memfokuskan bahawa jawatan selaku Ketua Jabatan perlulah dari satu kaum sebagai tradisi? Dalam mencapai kemajuan, sikap perkauman perlu dielakkan kerana Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang tidak menindas mana mana kaum serta tidak menidakkan kebolehan individu bagi mengetuai agensi kerajaan.

Adakah pihak KSN perlu memanggil mereka yang terlibat mengeluarkan surat tersebut bagi mendapatkan penjelasan mengapa dan bagaimana surat sulit boleh di tatap umum? Rakyat mahukan penjawat awam yang tahu menjaga rahsia dan etika selaku mewakili kerajaan dan tindakan membocorkan mana mana surat sulit kerajaan tidak boleh di terima sebagai cara 'membunuh' imej serta kemampuan individu yang bakal memenuhi kerusi tersebut.