Thursday, 17 November 2016

GEMPAR TRANSKRIP USTAZ ABU MENGENAI 'JUTAWAN' AMPANG - BERANIKAH ZURAIDA TAMPIL MENAFIKAN DAKWAAN?


TENDER AMPANG MILIK ZURAIDA DAN ADAM - KOMISEN JUTAAN RINGGIT MASUK KE KANTUNG SIAPA?




Terbongkarnya 'kekayaan' pegawai khas kepada ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin telah membuka lembaran baru apabila satu transkrip perbualan tersebar di laman media sosial. Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Dato Seri Jamal Yunos antara orang pertama membongkar kemewahan Adam Rosly ternyata berjaya membuka mata RAKYAT mengenai kerakusan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam mengumpul harta melalui kuasa yang diberikan rakyat selama ini.

Banglo yang di gelar netizen sebagai 'Disneyland Ampang' dikatakan bernilai RM7 juta namun dinafikan Adam apabila mendedahkan harga sebenar banglo tersebut yang beliau dakwa hanya RM1 juta. Lebih memalukan lagi apabila tinjauan dilakukan, di dapati sambungan elektrik serta air ke kediaman tersebut tidak sah dan selama ini penggunaannya adalah melalui pencurian. Bagaimana seorang pegawai khas mampu beroleh wang dalam masa singkat selama berkhidmat untuk Zuraida? Timbul polemik apabila Adam cuba menafikan kemewahan itu diperolehi beliau menerusi 'komisen' bagi kontraktor mendapat kontrak daripada PKR Ampang. 

Jika Adam menafikan kegiatan tesebut, beliau sepatutnya berani mendedahkan dari mana sumber kewangannya selama 2 tahun berkhidmat dengan Zuraida serta mendedahkan semua sumber wang yang beliau perolehi. Bukankah PKR selama ini melaungkan konsep telus dan sering mengatakan parti itu sebagai parti anti rasuah? Mengapa Adam mahu pun Zuraida tidak berani mendedahkan kepada umum dari mana datangnya wang Adam untuk membeli 'Disneyland Ampang'?

Amat mengejutkan lagi apabila terdapat dakwaan bahawa pegawai khas itu turut mempunyai hartanah bernilai tinggi di beberapa lokasi elit di Putrajaya. Hebatnya seorang anak muda yang hanya bertugas sebagai pegawai khas mempunyai pelbagai aset bernilai yang wakil rakyat BN pun belum tentu punyai aset setandingnya.Malah Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli kelihatan sedikit 'gelabah' apabila menggesa Adam mengisytiharkan hartanya bagi memujuk hati netizen yang semakin mempersoalkan kekayaan luar biasa beliau.

Satu transkrip perbualan yang tersebar dalam facebook tidak dapat dipastikan kebenarannya namun jika benar Adam dan Zuraida tidak terlibat maka mereka perlu tampil menjelaskan keadaan sebenar. Adakah benar juga dakwaan satu surat terbuka dari seorang ahli PKR yang tersebar dalam facebook mendakwa ada konspirasi perebutan kuasa dalam PKR yang terjadi apabila isu Ampang terbongkar?

Ternyata krisis dalaman PKR ini menghantui keseluruhan pimpinan PKR yang kini sudah tidak tahu siapa musuh di kalangan mereka yang mahu menjatuhkan pemimpin sendiri dengan skandal skandal tertentu. Atau lebih buruk lagi inilah antara skandal skandal yang Setiausaha Agung PKR pernah dedahkan mengenai kebobrokan PKR sendiri tidak lama dahulu? Adakah ini yang mahu dimaksudkan Rafizi? Adakah benar terdapat perseteruan antara beliau dan Azmin selaku Menteri Besar Selangor yang berkuasa meluluskan tender dan Zuraida turut berkuasa berbuat demikian sekaligus membolehkan pegawai khas beliau beroleh imbuhan besar dan bergaya mewah?


Kini PKR berhadapan dengan satu lagi krisis ciptaan mereka sendiri yang selalunya mereka lemparkan terhadap Umno. Rakyat sudah tidak lagi percaya akan ketelusan pemberian tender kerajaan PKR Selangor dan ini merupakan tamparan hebat buat Presiden PKR sendiri yang seperti tidak memberi respon dalam isu pegawai khas Zuraida. Adakah Wan Azizah sudah menghidu sesuatu yang bakal berlaku? Benarkah ada komplot rampasan kuasa dalam PKR dengan pembongkaran kemewahan pegawai khas ini? Siapa dalang sebenar komplot rahsia ini? PKR tidak boleh menuding jari kepada mana mana pihak luar kerana terbongkarnya isu ini dikatakan bermula dari dalam PKR sendiri.

Kini seluruh mata rakyat Selangor tertumpu kepada Ampang yang di lihat semakin gelabah mengeluarkan kenyataan menuding semua arah kompas bagi melepaskan tengkuknya dari menjawap persoalan demi persoalan yang membabitkan pegawai khas beliau. Terbaru dikatakan PKR mengambil jalan mudah memecat Adam Rosly dari jawatannya. Adakah ini dinantikan dalang komplot rampasan kuasa PKR? Jika benar wujud konspirasi tersebut maka jangka hayat PKR akan berakhir di Selangor dan rakyat akan menghukum PKR kerana mengkhianati kepercayaan yang telah mereka berikan sejak 2008 hingga kini.



No comments:

Post a Comment